Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes VLN: Pendakwaan fail petisyen rayuan terhadap pembebasan Zahid

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pihak pendakwaan telah memfailkan petisyen rayuan untuk membatalkan pembebasan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dalam kes rasuah sistem visa asing (VLN).

Menurut laporan FMT yang memetik sumber, pendakwa raya memfailkan petisyen rayuan di Mahkamah Rayuan semalam.

Notis rayuan itu sebelum ini difailkan pada 26 Sept.

Di bawah undang-undang, petisyen rayuan mengandungi alasan yang disenaraikan untuk menyokong kes perayu apabila perkara itu dibicarakan di Mahkamah Rayuan.

Sumber itu juga dipetik berkata bahawa petisyen berkenaan memetik 15 alasan untuk membalikkan pembebasan pada akhir kes pendakwaan dan supaya Zahid diperintahkan membela diri dalam kes VLN.

Rayuan pihak pendakwaan ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Rayuan pada 10 Jan tahun depan.

Pada 23 Sept Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Mohd Yazid Mustafa ketika membuat keputusan berkata pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie dan tiga saksi utama mereka tidak boleh dipercayai.

Saksi itu ialah bekas pengurus pentadbiran Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) David Tan Siong Sun dan bekas pengarah UKSB Harry Lee Vui Khiun dan Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani.

Zahid yang kini menteri kemajuan desa dan wilayah berdepan 33 pertuduhan menerima rasuah dari UKSB berjumlah SG$13.56 juta (RM43.6 juta) antara 2014 dan 2017.

Dia yang merupakan bekas timbalan perdana menteri dan bekas menteri dalam negeri turut dihadapkan tujuh pertuduhan mendapat SG$1.15 juta, RM3.125 juta, 15,000 Swiss franc (RM70,000) and AS$15,000 (RM68,000) dari syarikat sama.

Dia didakwa menerima rasuah untuk melanjutkan kontrak UKSB untuk mengendalikan servis one-stop centre (OSC) di China dan sistem VLN, serta mengekalkan kontrak dengan Kementerian Dalam Negeri untuk membekalkan sistem VLN bersepadu.

Pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai rasuah atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Pada masa ini Zahid turut berdepan satu lagi perbicaraan atas pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan itu kini di peringkat pembelaan.