Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | PM diharap tumpu inisiatif pemerkasaan masyarakat India dalam belanjawan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Saya menyambut baik pengumuman Kerajaan Perpaduan bawah kepimpinan Anwar Ibrahim untuk membentangkan Belanjawan 2023 yang baru pada 24 Februari 2023. Mengambil kira pengumuman ini, saya ingin memetik ucapan sulung perdana menteri di parlimen tempoh hari yang memperakui kedudukan masyarakat India sebagai antara yang termiskin dalam negara.

Perakuan ini, saya harap turut mencerminkan komitmen Anwar dan Kerajaan Perpaduan dalam melaksanakan inisiatif-inisiatif pembangunan masyarakat India secara lebih teliti. Dalam kesempatan ini, saya ingin mencadangkan kepada perdana menteri akan pelaksanaan sebeberapa perkara yang membabitkan kepentingan masyarakat India dalam Belanjawan 2023 kelak nanti.

Antara lainnya adalah dengan penubuhan semula Cabinet Committee on the Indian Community yang berperanan sebagai badan pemantau pelaksanaan dasar-dasar pembangunan terkait masyarakat India yang dipengerusikan oleh Anwar Ibrahim sendiri. Penubuhan semula majlis ini dijangka akan membantu kerajaan untuk menyelaras dan mengurus pembangunan sosio-ekonomi masyarakat India secara lebih tersasar.

Cabinet Committee on the Indian Community walaupun dilaksanakan sebelum ini namun keberkesanan jawatankuasa tersebut terutamanya dalam soal menyelaraskan kerjasama membabitkan pelbagai kementerian di samping memberi ruang kepada pemegang taruh dari pelbagai latar belakang dan kepakaran untuk menyuarakan pandangan mereka dalam usaha memperkukuh legitimasi agenda pembangunan sosioekonomi masyarakat India.

Selain itu, perdana menteri juga disarankan untuk meneliti pengoperasian Malaysian Indian Transformation Unit terutamanya dalam soal penagihan peruntukan RM100 juta setiap tahun. Umum mengetahui sebahagian besar dana yang diperuntukkan sebelum-sebelum ini telah diagihkan kepada pelbagai pertubuhan/persatuan/syarikat tanpa meneliti impak projek-projek tersebut terhadap kumpulan sasaran.

Dalam soal ini, saya mencadangkan kepada Anwar Ibrahim supaya pengoperasian Mitra ditukar sedikit sebanyak agar peruntukan sejumlah RM100 juta setiap tahun dapat digunakan untuk pemerkasaan masyarakat India secara langsung.

Misalnya program berimpak tinggi yang mempunyai manfaat langsung dan memenuhi keperluan semasa seperti pemerkasaan kemahiran dan potensi kumpulan termiskin supaya mereka turut dapat menerima manfaat ekonomi digital, subsidi perkhidmatan internet untuk meningkatkan ketersambungan digital untuk kumpulan termiskin pada peluang-peluang pembangunan pendidikan, kemahiran dan keusahawan baru yang wujud berikutan revolusi digital serta pemerkasaan sistem sokongan pendidikan awal kanak-kanak bawah kawal selia Mitra dan sebagainya.

Perdana menteri juga perlu memberi tumpuan tambahan pada inisiatif-inisiatif pembangunan usahawan muda dari komuniti India dalam pelbagai sektor. Untuk ini, kerajaan perlu sediakan dana pembangunan keusahawanan secara lebih tersasar, misalnya melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Sektor agro merupakan antara sektor yang mempunyai penglibatan usahawan muda India yang tinggi buat masa ini. Keterlibatan Pejabat Perdana Menteri secara dasarnya dalam inisiatif ini melalui Cabinet Committee on the Indian Community akan menjadi pemudah cara pada golongan usahawan muda untuk mendapatkan bantuan-bantuan pembangunan usahawan melibatkan pelbagai kementerian secara lebih mudah.

Di samping itu, bantuan-bantuan sedia ada untuk tujuan pembangunan usahawan India seperti Skim Pembangunan Usahawan masyarakat India (SPUMI) dengan jumlah peruntukan RM 25 Juta bawah Tekun Nasional juga wajar diteruskan oleh kerajaan perpaduan dengan peningkatan dana berbanding tahun-tahun sebelum ini agar lebih ramai usahawan kecil sederhana dari masyarakat India dapat terima manfaat melalui kerajaan perpaduan.

Jumlah RM25 juta yang ditawarkan oleh Tekun Nasional melalui SPUMI buat masa ini hanya boleh digunakan untuk manfaat purata 2,500 usahawan kecil sahaja dengan anggaran pinjaman RM 10,000 untuk setiap seorang. Jumlah ini sekurang-kurangnya wajar digandakan mengambil kira kemelesetan ekonomi dunia yang dijangka berlaku pada 2023 untuk memastikan kelangsungan hampir 5,000 usahawan kecil sederhana dari kumpulan sasaran.

Akhir sekali, saya juga memohon kepada perdana menteri supaya memberi tumpuan tambahan pada aspek pendidikan melibatkan masyarakat India yang saban menjadi isu tahunan. Misalnya soal peruntukan penyelenggaraan dan pengurusan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, peluang penempatan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Program Matrikulasi dan Universiti Awam. Semua ini perlu diberi tumpuan yang sewajarnya agar isu-isu tahunan ini dapat ditangani secara proaktif terlebih dahulu.

Dalam soal peruntukan penyelenggaraan dan pengurusan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, jumlah yang diperuntukkan untuk tujuan tersebut dalam Belanjawan 2023 kelak nanti wajar dinyatakan secara jelas selaras dengan nilai ketelusan menjadi agenda utama pentadbiran Kerajaan Perpaduan. Berhubung dengan peluang penempatan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dari masyarakat India pula, Anwar Ibrahim perlu mengambil tindakan drastik untuk menetapkan satu nisbah pengambilan yang baru dan adil melalui Cabinet Committee on the Indian Community untuk memastikan tiada pelajar yang layak dari masyarakat India tercicir lagi pada tahun-tahun akan datang.

Mengambil kira risiko kemelesetan ekonomi peringkat global yang dijangka berlaku pada 2023, saya memohon kepada perdana menteri supaya pelbagai inisiatif bersifat afirmatif ini dipertimbangkan pelaksanaanya demi menjamin kelangsungan pembangunan sosioekonomi masyarakat India.


SIVARAJ CHANDRAN ialah anggota jawatankuasa kerja pusat MIC. Bagaimanapun kenyataan ini dibuat atas kapasiti peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian mana-mana organisasi.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.