Nik Nazmi mahu EIA lebih telus, tambah kakitangan penguatkuasaan
WAWANCARA | Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berjanji akan meneliti laporan bahawa Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) tidak lagi dimuat naik di laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk tatapan awam.
Nik Nazmi berkata dia akan bertemu dengan JAS untuk mendapat penerangan berkenaan perkara itu.
"Selain itu, kita perlu jadikan EIA selaras dengan piawaian dan jangkaan sekarang. Mungkin ia memadai dan sesuatu yang baru ketika ia mula diperkenalkan, namun masa berubah dan undang-undang boleh diubah.
"Pastinya kami akan melihat perkara ini. Ketelusan yang lebih baik adalah sesuatu yang kita akan angkat," katanya kepada Malaysiakini.
Nik Nazmi berkata pada masa lalu maklumat berkaitan kerajaan sering kali dianggap sebagai rahsia kecuali diisytiharkan sebaliknya.
"Jelas, ada isu lebih besar seperti Akta Rahsia Rasmi dan Akta Kebebasan Maklumat, namun dalam aspek alam sekitar, kita perlu alihkan perbincangan ke arah yang lebih telus.
"Saya tak boleh nyatakan secara spesifik buat masa ini, tetapi saya melihat laporan alam sekitar secara keseluruhan, untuk melihat apa yang boleh dilakukan untuk menambah baik ketelusan," katanya lagi.
EIA adalah mandatori untuk projek dalam sesetengah sektor dan saiz. Maklumat dalam EIA penting untuk persatuan masyarakat sivil untuk memantau projek seperti pembalakan dan perladangan, penambakan tanah, kuari dan perlombongan serta infrastruktur.
Projek-projek ini berkaitan kepentingan awam kerana ia mungkin melibatkan kemusnahan alam sekitar, memberi kesan kepada masyarakat sekeliling, memburukkan lagi perubahan iklim serta terdedah dengan amalan korupsi.
Sebelum ini JAS memuat naik laporan EIA di laman web mereka. Namun pada Februari 2022, reka bentuk laman diubah dan bahagian berkaitan penghantaran dan pelulusan EIA baru digantikan dengan bahagian "senarai EIA".
Kuatkan penguatkuasaan
Nik Nazmi berkata walaupun EIA ditulis dengan baik, penguatkuasaan dan pemantauan tetap sukar ekoran kurangnya tenaga kerja.
"Penguatkuasaan adalah cabaran utama. Kebanyakan undang-undang kita bertaraf dunia namun kita lemah dari segi penguatkuasaan.
"Satu lagi perbincangan adalah berkenaan renjer hutan dan langkah merekrut pesara askar untuk menjadi renjer secara kontrak. Kita perlu kreatif kerana apabila kita bercakap tentang memberi jawatan tetap dalam kerajaan, ia satu cabaran dengan mengambil kira kedudukan fiskal negara.
"Tapi jika kita lihat langkah yang diambil negara lain, ada kadar pengangguran tinggi di kalangan belia, ada ramai pesara tentera yang bersara pada umur 40 tahun tapi masih boleh bekerja.
"Saya tahu jika saya ke Perbendaharaan dan meminta jawatan tetap yang ada pencen, saya perlu tunggu masa lama. Tapi jika kita boleh ada penyelesaian kreatif seperti ini untuk penguatkuasaan, ia lebih mudah dilakukan," katanya lagi, sambil menambah ia pada masa sama dapat mengurangkan pengangguran.
Katanya langkah itu tidak terhad untuk renjer tetapi termasuk kakitangan teknikal.
"Kita boleh melengkapi kakitangan tetap dengan kontrak jadi pada masa akan datang, apabila kerajaan ada lebih dana, mungkin ia boleh diserap menjadi kakitangan tetap," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai