Skip to main
Logo Malaysiakini

PKR akan hadir PAU? Biro politik putuskan jika dapat jemputan - Rafizi

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Biro politik PKR akan membuat keputusan sekiranya menerima jemputan untuk menghadiri perhimpunan agung Umno (PAU) pada bulan depan, kata Timbalan Presidennya Rafizi Ramli.

Pun begitu, dia memaklumkan setakat ini, PKR belum mendapat jemputan tersebut daripada Umno.

Sebaliknya, dia meminta supaya soalan itu ditujukan kepada Saifuddin Nasution Ismail kerana surat-menurat ditujukan kepada setiausaha agung PKR itu

"Setakat ini belum dimaklumkan dan belum ada notis mesyuarat biro politik PKR,” katanya, lapor Bernama.

Menjawab soalan adakah pemimpin PKR akan hadir ke PAU jika diundang, Rafizi berkata perkara itu akan diputuskan secara bersama di peringkat parti.

“Tak usah terburu-buru. Kalau dapat jemputan, prosesnya ialah akan dibawa ke biro politik dan biro politik akan buat keputusan.

“Saya tunggu kalau perkara itu telah dihantar secara rasmi,” jelasnya.

Sementara itu, menyentuh mengenai kesan perkembangan terkini Covid-19 di China, Rafizi yang juga merupakan menteri ekonomi memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus melindungi dan membantu industri kecil dan sederhana dalam negara.

Antaranya, kerajaan memutuskan untuk tidak menaikkan tarif elektrik bagi pengguna domestik dan IKS.

“Sudah tentu kena pantau dengan teliti. Rantaian nilai kena tengok dengan terperinci kerana ia akan bermula dengan pengimport, sama ada berlaku sesuatu di China atau negara lain,” katanya.

Rafizi juga mengakui bahawa pandemik yang melanda selama dua tahun lalu memberikan kesan besar kepada seluruh dunia, ekoran kebergantungan terhadap negara ekonomi kedua dunia itu.

Menurutnya, kerajaan akan meneliti perkembangan pandemik di China kali ini.

“Ia juga termasuk kenaikan mendadak harga barangan tertentu, kebanyakan aktiviti perkilangan,” katanya bahawa Covid-19 telah berada dalam pemantauan Kementerian Ekonomi sejak dua tahun lalu ketika pandemik melanda.