Skip to main
Logo Malaysiakini

MB: S'gor akan bincang SOP tambahan untuk pelancong China

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata pihaknya akan membincangkan kaedah untuk meningkatkan protokol Covid-19 di negeri itu susulan kebimbangan mengenai kemungkinan berlakunya peningkatan kes.

Dia berkata akan bermesyuarat dengan exco kerajaan negeri pada 3 Jan berhubung perkara itu.

"Saya akan panggil pengarah kesihatan dan juga exco kesihatan (untuk bincang) apakah extra effort yang boleh kita buat termasuk meneliti yang kita kenal sebagai kluster Covid...

"Terutama pelaporan, penjejakan dan saya rasa wajar mereka (pelancong) juga masuk mendaftar dengan aplikasi Selangkah atau Mysejatera dan kita jejaki sebab kumpulan ini agak berisiko," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Amirudin mengulas mengenai ketibaan penumpang dari China, berikutan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) protokol Covid-19.

China kini telah membenarkan rakyatnya melancong ke luar negara. Ini ketika China melaporkan sehingga 60,000 kes baru Covid-19 setiap minggu.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa sebelum ini berkata Kementerian Kesihatan akan mengambil langkah baru sebagai tindak balas terhadap perkembangan di China dan kemungkinan varian baru Covid-19 muncul daripada penularan di negara itu.

Katanya, semua pelawat dari China akan disaring untuk demam dan mereka yang didapati mengalami demam atau gejala lain akan dirujuk untuk ujian lanjut.

Seterusnya, semua pesakit yang menghidap penyakit seperti influenza dan jangkitan pernafasan akut yang teruk yang melawat China dalam tempoh 14 hari, atau telah berhubung rapat dengan seseorang yang melawat China dalam tempoh yang sama, akan dikenakan ujian RTK-Ag Covid-19.

Terdahulu, Amirudin merasmikan pelancaran litar sukan permotoran APWCrew, yang dibantu oleh kerajaan negeri Selangor.

Amirudin berharap ruang ini dapat menyediakan persekitaran yang lebih selamat untuk aktiviti sukan permotoran dan automatif.

"Jadi mereka boleh elak menggunakan kawasan-kawasan seperti perkilangan yang aspek keselamatannya agak rendah. Tetapi di sini aspek keselamatan lebih tinggi safety first dan kita dapat mengenakan syarat-syarat, kemudahan-kemudahan, alatan-alatan yang betul seperti tali pinggang dan helmet.

"Harap mereka diberi ruang dan mengurangkan masalah kemalanagan-kemalangan yang boleh kita elak,” katanya menjelaskan pihak berkuasa akan memantau keselamatan litar itu.

Menurut APWCrew, tiada litar untuk peminat sukan permotoran menjalankan pertandingan drift dan autocross sejak penutupan Speed City KL pada 2015.

Pengarah bersama APWCrew Circuit Hanizam Hamzah berkata acara drift semakin berkurangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan kekurangan pemandu baru diberi peluang untuk mengasah kemahiran mereka.

Pengarah bersama Halmi Khalid pula berkata litar itu dibuka dengan harapan dapat mengasah kemahiran pemandu untuk bersaing di pertandingan antarabangsa.

Halmi berkata, litar itu boleh menampung aktiviti lain seperti go-kart, kursus pemanduan lanjutan dan aktiviti sukan permotoran.