Skip to main
Logo Malaysiakini

K'jaan negeri teliti laporan penuh kes penonton maut dilanggar kereta lumba

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kerajaan Perak akan meneliti laporan penuh daripada penganjur pertandingan ‘CCT Battle of Champion’ di Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah susulan kemalangan yang mengorbankan seorang penonton, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah berkata tindakan selanjutnya akan dibuat selepas melihat laporan berkenaan khususnya melibatkan aspek keselamatan.

"Saya mewakili kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada keluarga penonton yang maut dan peristiswa semalam sudah pasti sesuatu yang kita kesalkan.

"Saya akan umumkan apa tindakan selanjutnya selepas menerima dan meneliti semua laporan penuh termasuk daripada pihak berkuasa dari aspek teknikal, keselamatan penonton, pelumba, pegawai bertugas dan sebagainya," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Petang semalam, seorang penonton yang juga mekanik sebuah bengkel dilanggar sebuah kereta lumba yang terbabas dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Changkat Melintang, Lambor Kanan dan hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan di kepala dan pendarahan di bahagian paru-paru.

Khairudin berkata pihaknya tidak berkompromi terhadap pengabaian ciri keselamatan pada setiap acara sukan bermotor apatah lagi melibatkan kehilangan nyawa.

Katanya lagi, pihak penganjur seharusnya bertanggungjawab terhadap kecuaian dalam melaksanakan program tanpa mengikut prosedur operasi standard (SOP).

-Bernama