Skip to main
Logo Malaysiakini

Tiada lagi premis judi beroperasi di Kedah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bermula hari ini tiada lagi premis perjudiaan dan loteri beroperasi di negeri Kedah selepas kerajaan negeri tidak lagi memperbaharui lesen aktiviti itu.

Sehubungan itu Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata pihaknya mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk melakukan pemantauan bagi memastikan semua premis perjudian mematuhi arahan yang dimuktamadkan sejak November lalu.

"Semua penguat kuasa PBT diarah memeriksa kedai judi dan loteri di seluruh Kedah, bagi memastikan tidak ada yang dibuka hari ini, kita mungkin tidak tahu jika ada yang masih beroperasi.

"Semua lesen mereka telah tamat tempoh pada 31 Disember dan kita tidak lagi perbaharui lesen judi," katanya seperti dilaporkan Harian Metro, hari ini.

Keputusan itu menjadikan Kedah sebagai negeri ketiga yang mengharamkan premis cabutan nombor ramalan berlesen selepas Kelantan dan Terengganu di bawah pentadbiran PAS.

Terdahulu Sanusi dalam persidangan dewan DUN Kedah pada 14 November lalu mengumumkan kerajaannya tidak lagi memberi kelulusan lesen premis perjudian selain menghadkan aktiviti penjualan arak di seluruh negeri itu.