Skip to main
Logo Malaysiakini

Gedung terbakar, Jakel dianggarkan rugi RM100 juta

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Gedung perniagaan tekstil Jakel cawangan Shah Alam di Seksyen 7, di Shah Alam musnah dalam kebakaran pagi ini, membabitkan kerugian yang dianggarkan hampir RM100 juta.

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata jumlah itu hanya melibatkan nilai bangunan lot kedai Wisma Jakel berkenaan, namun jumlah sebenar kerugian masih belum dapat dipastikan.

Dia yang ditemui berhampiran lokasi kejadian berkata kebakaran berlaku sekitar pukul tujuh pagi tadi dan dimaklumkan mengenai kejadian oleh adiknya, yang merupakan pengurus cawangan berkenaan kira-kira pukul 7.17 pagi.

"Ini kerugian besar kepada syarikat, namun kami reda dengan ketentuan Allah ini dan saya yakin ada hikmah, serta yakin Allah akan ganti dengan lebih baik. Sebagai orang Islam kita kena percaya,” katanya.

Mohamed Faroz berkata pihaknya akan berusaha mencari lokasi sementara yang baru di sekitar Shah Alam secepat mungkin bagi meneruskan perniagaan, terutama menjelang ketibaan bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim dalam kenyataan ringkas kepada media berkata kebakaran dipercayai berpunca daripada kejadian litar pintas, dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Menurutnya jalan di persimpangan utama berdekatan Wisma Jakel tidak ditutup dan keadaan lalu lintas di kawasan sekitar masih lagi terkawal.

Bagaimanapun dia menasihatkan orang ramai yang melalui jalan berhampiran supaya tidak berhenti atau memperlahankan kenderaan untuk melihat persekitaran bagi mengelak kesesakan lalu lintas.

Sehingga tengah hari tadi ini usaha memadamkan sepenuhnya kebakaran masih giat dijalankan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, yang membabitkan pegawai dan anggota dari tujuh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP).

Pengarah JBPM Selangor Norazam Khamis berkata sepasukan pegawai dan anggota serta aset dari BBP Shah Alam, BBP Kota Anggerik, BBP Subang, BBP Kota Raja, BBP Damansara, BBP Sungai Pinang dan BBP Puchong bergegas ke tempat kejadian selepas bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada pukul 7.08 pagi.

“Sebaik tiba di lokasi, didapati kebakaran membabitkan satu lot kedai tiga tingkat yang sedang terbakar 80 peratus. Api berjaya dikawal dalam tempoh sejam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Norazam berkata kebakaran telah memusnahkan bahagian dalam bangunan lot kedai tiga tingkat itu pasukannya kini dalam proses melakukan pemadaman bara-bara api pada timbunan kain dan jelasnya punca kejadian masih dalam siasatan.

-Bernama