Skip to main
Logo Malaysiakini

PAU akan hanya bahas ucapan dasar presiden

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang akan diadakan pada 13 dan 14 Januari ini menyaksikan perwakilan hanya membahaskan satu usul iaitu ucapan dasar presiden parti.

Ini berbeza dengan amalan biasa Umno dengan perwakilan akan mencadangkan dan membahaskan beberapa perkara lain berkaitan negara, seperti ekonomi dan pendidikan.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata ini kerana parti itu tidak memegang banyak portfolio dalam kerajaan sekarang dan dengan itu menteri-menteri berkaitan tidak dapat menjawab isu yang dibangkitkan dalam PAU.

"Ya sebelum ni kita ada ucapan dasar presiden, usul pendidikan, agama, usul ekonomi.

"Itu kalau kita ada tiga hari boleh lah. Tetapi kita ada dua hari dan kita bukan kerajaan sepenuhnya, kerajaan perpaduan.

"Dulu diadakan usul-usul itu kerana menteri berkaitan daripada Umno dan boleh menjawab tetapi sekarang kalau usul ekonomi, kita tidak ada menteri ekonomi yang berkaitan.

"Jadi sukar untuk menteri-menteri yang berkaitan bagi pihak kerajaan untuk jawab di pentas parti

kerana contoh kos sara hidpup, contohnya, bukan menteri Umno. Walaupun itu tajuk yang popular bila PAU.

"Sebab itu kita tumpu ucapan dasar presiden. Tapi ucapan dasar presiden itu tentu menyentuh perkara-perkara berkaitan juga; pendidikan, agama, politik, antarabangsa. Biasanya beliau akan menyentuh perkara itu," katanya pada sidang media hari ini.

Bagaimanapun, Ahmad berkata ucapan dasar Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi akan merangkumi semua aspek berkaitan untuk dibincangkan.

Ditanya jika Umno akan menjemput semua parti yang menjadi sekutunya dalam kerajaan untuk menghadiri perhimpunan itu, Ahmad menjelaskan perkara itu akan diputuskan oleh Majlis Tertinggi Umno semasa mesyuarat bulanannya pada Khamis ini (5 Januari).

Pada kebiasaannya, Umno akan menjemput organisasi yang mesra parti itu untuk menghadiri perhimpunan agung tahunannya.

Jika ini diteruskan pada mesyuarat akan datang, ia mungkin menyaksikan beberapa pihak membuat penampilan di Perhimpunan Agung Umno buat pertama kali dalam sejarahnya, termasuk DAP yang pernah menjadi musuh ketat Umno.

Sementara itu, Ahmad turut mempertahankan keputusan kepimpinan Umno untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan Pakatan Harapan selepas pilihan raya umum baru-baru ini, walaupun keputusan Perhimpunan Agung Umno sebelum ini menentang sebarang kerjasama dengan Anwar Ibrahim dan DAP.

Ahmad berkata keputusan itu dibuat oleh Majlis Tertinggi Umno selaras dengan perlembagaan parti.

"PAU kita membuat keputusan oleh MKT dan MKT telah membuat keputusan untuk bersama kerajaan perpaduan.

"Dalam kaedah perjalanan Umno ini, bila tidak ada PAU pada ketika kita ingin buat keputusan dasar yang besar, diserahkan kepada MKT.

"Dan MKT pada saat penting itu, buat keputusan untuk bersama kerajaan perpaduan.

"Jadi apa dibuat Umno adalah selaras garis panduan perlembagaan kita jika tidak ada PAU dan kita ingin buat keputusan dasar berlainan, hendaklah diputuskan oleh mesyuarat MKT," katanya lagi.