Skip to main
Logo Malaysiakini

Beliawanis MCA: Pastikan kes rogol, cabul disiasat polis wanita

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Beliawanis MCA melahirkan rasa kecewa berhubung laporan dakwaan seorang pegawai polis berpangkat inspektor merogol seorang remaja berumur 16 tahun yang juga mangsa rogol di sebuah balai polis di Alor Setar.

"Beliawanis MCA memandang serius insiden ini, kerana dakwaan tersebut membabitkan penyalahgunaan kuasa oleh pihak berkuasa yang mengambil kesempatan terhadap mangsa yang sepatutnya dilindungi.

"Justeru itu, Beliawanis MCA menegaskan bahawa mana-mana siasatan polis, khususnya yang membabitkan kes rogol dan cabul, haruslah dilakukan oleh anggota polis wanita ataupun dijalankan dengan kehadiran anggota polis wanita, lebih-lebih lagi apabila mangsa berkenaan adalah seorang remaja atau kanak-kanak," kata sayap wanita muda parti itu pada satu kenyataan hari ini.

Menurut laporan media, insiden tersebut berlaku semasa anggota polis berkenaan menjalankan “pemeriksaan” ke atas mangsa berkenaan sebagai sebahagian siasatan berhubung kes rogol yang dikatakan dilakukan oleh bapa tiri mangsa tersebut.

Kata Beliawanis MCA sekiranya pemeriksaan badan ke atas mangsa perlu dijalankan, maka ia patut dibuat di sebuah fasiliti perubatan oleh pegawai perubatan yang terlatih dan dihadiri pembantu-pembantu perubatan lain serta anggota polis wanita yang bertanggungjawab.

"Keselamatan dan privasi mangsa haruslah dijamin dan dipelihara demi melindungi mangsa daripada terus didera ataupun diancam.

"Dalam apa jua keadaan, pemeriksaan badan tidak patut dijalankan oleh anggota polis lelaki secara bersendirian, demi mengelakkan kes seperti ini daripada berulang lagi," katanya lagi.

Beliawanis MCA juga berkata pihaknya sedia memberi bantuan kaunseling kepada mana-mana mangsa kes rogol atau pencabulan sekiranya diperlukan dan berterima kasih kepada polis atas tindakan pantas yang diambil terhadap inspektor berkenaan sebaik sahaja menerima laporan daripada mangsa.

"Diharapkan langkah ini dapat mengembalikan keyakinan rakyat terhadap PDRM dan membuktikan kesediaan PDRM untuk mengambil tindakan terhadap anggotanya sendiri yang melakukan kesalahan," katanya lagi.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said ketika maklum segera terhadap laporan kes ini berkata terdapat peraturan khusus untuk mengendalikan mangsa penderaan seksual kanak-kanak.

“Saya memandang serius kes ini dan menegaskan terdapat prosedur khusus untuk mengendalikan mangsa kanak-kanak iaitu Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 dan Garis Panduan Pengurusan Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.

"Tiada siapa yang berada di atas undang-undang,” tegasnya.

Menurut garis panduan itu, polis perlu membawa mangsa yang disyaki penderaan seksual kanak-kanak ke hospital kerajaan, bagi tujuan pemeriksaan dan rawatan.

Sebaik tiba di jabatan kecemasan hospital, mangsa akan dikendalikan oleh kakitangan perubatan yang telah dilatih mengendalikan kes disyaki penderaan dan pengabaian kanak-kanak (Scan).

Azalina, yang pernah menjadi menteri undang-undang semasa garis panduan itu digubal pada 2017, bertindak sebagai penasihat jawatankuasa yang menulis garis panduan berkenaan.