ULASAN | Tujuh tahun menjelang negara menua
ULASAN | Memasuki 2023 ini bermakna tujuh tahun lagi Malaysia menjadi negara menua. Ia bukanlah tempoh yang lama kerana penuaan adalah proses alam, justeru langkah menguruskannya perlu tepat dan pantas.
Umur saya sekarang 63 tahun, bermakna jika masih ada usia nanti saya akan berusia 70 tahun pada 2030. Usia tua bukan tempoh produktiviti kerana dunia sentiasa memerlukan orang muda dalam pelbagai sektor.
Berbanding negara maju yang nilai intelektualnya tinggi dan ada prasarana lengkap, Malaysia - seperti kebanyakan negara membangun - masih kabur dalam aspek persediaan menjadi negara menua.
Berdasar rekod bancian, dalam tempoh 10 tahun bermula 2010 kadar penuaan meningkat kepada 6.8 peratus berbanding 5 peratus sebelumnya. Dengan peningkatan yang berlaku itu, kerajaan perlu merangka dasar yang sesuai dengan penduduk Malaysia yang menghala kepada penuaan.
Unit Perancangan Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri sebagai agensi yang bertanggungjawab merangka pelan negara menua kelihatan tidak jelas dalam persediaan pembangunan sosioekonomi negara jangka sederhana dan panjang.
Impak negara menua merentasi pelbagai sektor, bukan hanya tertumpu kepada penjagaan dan kebajikan warga emas sahaja. Aspek cabaran kesihatan, pendidikan, kewangan, produktiviti dan guna tenaga buruh, serta penggunaan teknologi perlu diutamakan.
Mengikut bancian terkini komposisi penduduk umur tua di Malaysia ialah 6.8 peratus. Ini menunjukan komplikasi kepada keadaan kesihatan, ekonomi, reka bentuk bangunan apabila peratusan orang tua juga meningkat.
Justeru ia ada kaitan dengan kemajuan ekonomi, pemakanan dan pendapatan.
Penuaan merupakan trend global masa kini disebabkan oleh peningkatan jangka hayat. Penuaan juga bermakna kos rawatan dan kekerapan rawatan berkala di klinik dan hospital semakin meningkat.
Nasib baik dibiayai kerajaan
Pengalaman peribadi membuktikan penuaan datang dengan keuzuran. Saya misalnya dirawat di tujuh klinik pakar berbeza kerana masalah jantung, fizikal, pendengaran, darah tinggi, kolesterol, gastrik, penglihatan dan kulit.
Saya dirawat di dua klinik pakar ortopedik dan traumatologi di jabatan rehabilitasi. Pakar pemulihan merawat poliomyelitis yang saya alami sejak 1962 dan pakar arthroplasty merawat osteoarthritis sejak 2003.
Saya berkerusi roda sejak 2016 kerana patah tulang lutut kiri dan masalah saraf.
Mata kanan saya kabur kerana pendarahan retina. Sudah enam kali saya menerima suntikan pada deria penglihatan itu. Pakar oftalmologi kata, puncanya kerana saya memakai cermin mata sejak berumur 12 tahun, iaitu pada 1972.
Setiap suntikan pada mata bernilai RM1,000. Saya beruntung kerana rawatan itu dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan menerusi kad pesara isteri yang pernah bertugas di sebuah pusat pendidikan guru.
Bayangkan warga emas lain yang tiada surat jaminan kerajaan untuk mendapatkan rawatan khusus pakar!
Saya juga menderita masalah pendengaran dan penghadaman, justeru kini dirawat secara intensif di klinik pakar otorhinolaryngology atau lebih dikenali klinik ENT (telinga, hidung dan tekak).
Klinik itu juga akhirnya mengesan ada ketumbuhan dalam tekak sehingga saya sukar mengunyah makanan. Dua kali menjalani ujian endoskopi untuk mengesan punca ketumbuhan kerana dibimbangi masalah kanser.
Klinik ENT turut merujuk saya ke klinik pakar gastro kerana isu gastrik yang semakin serius.
Saya juga dirawat di klinik dermatologi kerana masalah kulit yang timbul selepas bersara.
Bayangkan berapa banyak ubat yang ditelan setiap hari dan kos perubatan dan perawatan setiap bulan.
Pada usia tua kita tidak boleh mengelak daripada berdepan dengan isu kesihatan. Masalah jantung, kolestrol dan darah tinggi tidak dapat dielakkan.
Isteri saya yang kini berusia 62 tahun pula menghadapi masalah buah pinggang sejak 2008. Dia pernah menjalani rawatan continuous ambulatory peritoneal dialysis (CAPD) empat kali sehari di kamar khas di rumah dan pejabat.
Persediaan jadi tanda tanya
Perutnya ditebuk untuk disalurkan cecair perubatan. Kos rawatan melebihi RM3,000 setiap bulan dan kami bersyukur kerana ia dibiayai kerajaan.
Sejak 2012 isteri saya menjalani rawatan dialisis 'darah' di sebuah pusat kesihatan swasta kerana kaedah CAPD berisiko terhadap jangkitan kuman dan kerap keluar masuk hospital.
Pusat dialisis menyediakan khidmat pemandu dan kenderaan untuk isteri berulang-alik menjalani rawatan seawal jam enam pagi Isnin, Rabu dan Jumaat sejak 10 tahun lalu.
Kos pengangkutan dan pemandu juga dibiayai kerajaan sepenuhnya.
Pesakit buah pinggang membabitkan kos rawatan yang tinggi. Ubat Renvela iaitu Sevelamer Cabornate berharga RM1,200 sebotol. Ubat Regpara @ Cinacalcet 25mg harganya mencecah ribuan ringgit.
Kedua-dua ubat itu disediakan oleh hospital kerajaan untuk kakitangan, pesara dan keluarga mereka. Pesakit lain tidak dibekalkan ubat ini kecuali jika masih ada stok berlebihan.
Bayangkan bagaimana pesakit yang tidak bekerja di sektor awam terpaksa berbelanja pada usia persaraan yang tidak lagi produktif.
Sejauh mana Malaysia bersedia mendepani negara tua pada 2030?
Kajian Beban Global Penyakit 2019 menemukan purata jangka hayat rakyat Malaysia ialah 75 tahun namun purata jangka hayat sihat cuma 65.7 tahun.
Malangnya isu kesihatan warga emas tidak banyak diperkatakan. Malah, semasa kempen pilihan raya yang berlangsung baru-baru ini, tidak ada pun mana-mana parti atau calon yang memperkatakan isu negara menua.
Kempen politik di Malaysia pula tetap berlegar tentang 'Cina DAP' dan penunggang agama, serta kononnya Melayu yang terancam.
Hanya tujuh tahun lagi kita menuju negara tua. Kerajaan Anwar Ibrahim sepatutnya peka isu ini dalam proses pembentukan masyarakat madani yang sudah lama diperkatakan.
Orang tua tidak perlukan simpati kerana mereka sudah lama bersimpati kepada nasib sendiri. Orang tua perlu kemudahan rawatan dan prasarana.
IMLAN ADABI ialah wartawan dan sasterawan yang menjadi warga tua dunia secara sah dan beradab.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai