ULASAN | Wacana punggah, bolot dan gondol kekayaan negara
Sejak Anwar Ibrahim menjadi PM ke-10 beberapa perkataan menonjol dan menjadi fokus pentadbiran beliau. Perkataan tersebut ialah punggah (teringat arwah Mydin Gelap yang sering menyebut perkataan ini dalam lawaknya), bolot dan gondol.
Tiga perkataan di atas tidak sampai dua bulan menjadi PM merupakan wacana dan bagi melakukannya ialah melalui “kesempatan” berada dalam kerajaan dan kepimpinan politik yang juga disebut Anwar, yang bagi saya bererti kuasa.
Ini adalah rasuah besar yang dilakukan pemimpin dan ahli politik ke atas negara. Mereka ini bukan sahaja memunggah kekayaan, bayangkan pembolotan mereka ini sehingga menggondol kekayaan negara selama ini.
Bagaimana cara dan kaedahnya, rasanya pembaca lebih mengetahuinya.
Mungkin juga semasa beliau menyertai kerajaan BN sehingga menjawat jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan, beliau telah menyaksikan perkara ini berlaku.
Tiada pemimpin sebelum ini yang baharu dilantik menjadi PM tidak sampai sebulan menyuarakan isu sensitif ini. Walaupun isu rasuah ditekankan oleh PM lalu tiada fokus kepada pemunggahan, pembolotan dan penggondolan kekayaan negara oleh ahli politik.
Malah sebelum PH-14 dan sebelum menjadi PM, Anwar menekankan isu pemunggahan kekayaan oleh ahli politik ini.
Sewaktu debat Perdana bersama bekas perdana menteri Najib Razak mengenai hala tuju dan masa depan negara, Anwar menyebut mengenainya:
“Saya yakin permulaan ini mesti dengan pengurusan yang lebih baik. Orang mual dengan politik sekarang ini, dengan percaturan politik dan perebutan dan pemunggahan kekayaan dan pimpinan. Oleh demikian, harus bawa semula keyakinan baharu untuk nyatakan bahawa politik dan pimpinan tak lain dari taklif, amanah … dan ini dengan membersihkan negara dari rot yang ada iaitu rasuah.”
Semasa pelancaran jentera pilihan raya PRN Johor Februari 2022, Anwar juga ada berkata: "Pandora Papers senarainya macam mana? Waktu itu (politik) stabil tetapi digunakan untuk punggah kekayaan, bukan sedikit berbilion."
Ini juga bermakna Anwar sedang berusaha supaya wang rakyat dikembalikan oleh ahli-ahli politik yang telah mengebas duit wang berbilion ringgit.
Lebih ketara lagi pada ucapan amanat tahun baharu 2023, ahli parlimen Tambun menegaskan bahawa beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengambil kesempatan memunggah kekayaan tanah air.
Menurutnya, tugas menghentikan amalan pemunggahan kekayaan negara ini bukan bermotifkan politik kepartian ketika ramai rakyat berdepan dengan masalah kewangan.
Anwar yang juga menteri kewangan bagaimanapun mengakui sedar bahawa usaha memusatkan perhatian kepada rakyat dan memerangi rasuah bukannya mudah.
“Saya mengajak saudara-saudara selesai pilihan raya, kita harus menguatkan perpaduan… Bersatu itu untuk tujuan yang murni. (Malaysia Dateline, 31 Disember, 2022).
Perkara ini dapat dilihat dalam amanat khas yang disiarkan secara langsung sebelum ini, Anwar menegaskan bahawa beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengambil kesempatan memunggah kekayaan tanah air.
Menurutnya, tugas menghentikan amalan pemunggahan kekayaan negara ini bukan bermotifkan politik kepartian ketika ramai rakyat berdepan dengan masalah kewangan.
Anwar bagaimanapun mengakui sedar bahawa usaha memusatkan perhatian kepada rakyat dan memerangi rasuah bukannya mudah.
“Saya mengajak saudara-saudara selesai pilihan raya, kita harus menguatkan perpaduan… Bersatu itu untuk tujuan yang murni.
Dalam isu Bernas beliau berkata kerajaan tidak akan benarkan “pembolotan kekayaan” oleh ahli politik dan kalangan yang dekat dengan mereka dengan "menghisap darah pesawah padi yang miskin".
Kenyataan Anwar semasa ucapan amanat tahun baharu berkaitan dengan pemunggahan kekayaan negara oleh ahli politik ialah “Selain kestabilan politik dan tadbir urus yang baik, langkah lain yang harus diambil ialah dengan usaha mempercepat proses kelulusan dengan menjamin bahawa Malaysia ini bukan tempat pemimpin-pemimpin menggondol kekayaan, bukan mencari helah menerima komisen," kata beliau.
Bahkan dengan lebih tegas lagi perdana menteri menyatakan akan menamatkan amalan rasuah yang didakwanya menggunakan kepimpinan politik dan kedudukan dalam kerajaan sebagai “kesempatan untuk memunggah kekayaan”. Beliau sehingga menyebut pihak itu sebagai pernah menjadi “menteri kewangan” dan “bekas perdana menteri”.
Bahkan bukan tujuan membodek, sekiranya tindakan membanteraskan koruptokrasi (rasuah dalam demokrasi) dalam negara diganyang habis-habisan, tidak keterlaluan jika dikatakan Anwar adalah PM yang melampaui sempadan politik parti dan elit politik.
Ini ada kaitannya dengan istilah kleptokrasi iaitu negara yang dikuasai oleh perasuah yang merupakan pemunggah dan pembolot kekayaan negara. Mereka adalah penggondol kekayaan negara, mengambil kesempatan daripada kedudukan dan jawatan yang mereka pegang.
Tiada pemimpin politik yang berani membuat kenyataan seperti ini. Bahkan sehingga artikel ini ditulis tiada pemimpin kerajaan perpaduan, mahukan gabungannya membuat kenyataan susulan juga apa lagi untuk pemimpin pembangkang menyatakan sokongan di atas kenyataan Anwar yang bernada tegas itu.
Kajian akademik belum dilakukan secara spesifik dan ini adalah penelitian awal saya terhadap fokus Anwar sejak baru menjadi PM. Akan disambung!
ISMAIL HASHIM YAHAYA adalah pemerhati kritikal isu-isu dalam dan luar negara.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai