Skip to main
Logo Malaysiakini

'Soal siasat polis wajar dibuat di bilik dengan CCTV'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Semua soal siasat polis wajar dilakukan di dalam bilik yang dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV), kata bekas pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph (gambar, judul).

Menurut aktivis hak asasi manusia itu, perkara ini bagi memastikan pasukan keselamatan berkenaan mematuhi undang-undang semasa menjalankan tugas mereka.

"Bagaimanapun, masalahnya sekarang keterangan oleh pegawai penyiasat sering dibuat di bilik pegawai.

"Pihak polis mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi, namun sering kali laporan diterima memaklumkan pegawai penyiasat menggunakan pejabat mereka untuk tujuan siasatan dan menyoal, sedangkan sudah ada bilik siasatan yang disediakan," katanya, petik BH Online.

Joseph mengulas kes baru-baru ini di Alor Setar, Kedah, apabila seorang inspektor polis yang bertanggungjawab menyiasat dakwaan kejadian rogol melibatkan seorang remaja perempuan, didakwa merogol mangsa itu semasa disoal siasat.

Mangsa berusia 16 tahun dilaporkan telah pergi menemui pegawai itu untuk merakamkan keterangannya berhubung dakwaan asal kes rogol terhadap bapa tirinya. Inspektor itu telah ditahan untuk membantu siasatan.

Mengulas lanjut, Joseph berkata dakwaan rogol melibatkan mangsa wanita perlu dikendalikan oleh pegawai wanita.

"Sudah terlalu lama salah laku polis hanya dipandang sebelah mata dan diketepikan kerana orang ramai tidak mempunyai kaedah efektif untuk memeriksa salah guna polis.

"Kaedah aduan dalaman polis tidak boleh dilihat sebagai kuat dan berkesan kerana ia adalah mekanisme dalaman tanpa pengawasan badan yang bebas," katanya.

Jelasnya lagi, bagi "memperbaiki dan mempertahankan nama baik" institusi keamanan itu maka negara sangat memerlukan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

"Ia bagi memperbaiki dan mempertahankan nama baik institusi polis," katanya.