Skip to main
Logo Malaysiakini

Autonomi penuh projek bawah RM50 juta bantu pembangunan Sabah - KM

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Keputusan kerajaan Persekutuan memberikan autonomi penuh kepada Sabah untuk projek pembangunan di bawah RM50 juta dapat membantu dari segi kelulusan dan pelaksanaan projek yang sebelum ini terbantut disebabkan kerenah birokrasi, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Sambil memuji keputusan itu, beliau berkata ia merupakan satu lagi berita baik yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selain penyerahan kuasa kawal selia sumber gas negeri.

“Seiring semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), ini sudah pasti satu berita baik,” katanya dalam kenyataan di Kota Kinabalu hari ini.

Pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet hari ini, Anwar mengumumkan bahawa autonomi penuh akan diberi kepada Sabah dan Sarawak bagi projek di bawah RM50 juta dengan pematuhan kepada peraturan kewangan yang ditetapkan.

Hajiji berkata beliau dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri untuk memuktamadkan beberapa perkara di bawah perjanjian berkenaan, antaranya isu geran khas.

Beliau juga berkata jawatankuasa kerja dan kajian semula mengenai MA63 akan diteruskan yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

“Berita baik lain yang dijangkakan ialah peruntukan tambahan bagi Sabah mempercepat penyiapan projek Lebuhraya Pan Borneo,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata perkembangan terbaharu itu membolehkan projek pembangunan Sabah disegerakan dan ia sudah lama dinantikan kerajaan negeri bagi melaksanakan projek yang lebih berkesan untuk rakyat negeri ini.

“Ini bermakna kerajaan Persekutuan menyerahkan mandat penuh kepada kerajaan negeri dalam menentukan projek pembangunannya. Kita berterima kasih kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan, sekali gus menunjukkan Perdana Menteri memahami kehendak rakyat Sabah,” katanya.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri, turut berharap kerajaan Persekutuan dapat menyegerakan peruntukan untuk projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah bagi memastikan pelaksanaannya dipercepatkan.

Dalam pada itu, Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata keputusan Kabinet itu menunjukkan komitmen kerajaan Persekutuan untuk memartabatkan MA63.

“Warisan mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Perdana Menteri terhadap impian penduduk Sabah yang sudah lama ingin melihat MA63 dilaksanakan,” katanya.

- Bernama