Skip to main
Logo Malaysiakini

GRS sedia buktikan sokongan pada Hajiji sebagai KM - Masidi

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersedia untuk membuktikan keabsahan sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah kepada Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri, kata Setiausaha Agungnya Datuk Seri Masidi Manjun.

Beliau berkata ini kerana difahamkan ada pihak tertentu mendakwa telah memperoleh sokongan lebih separuh daripada Adun Sabah untuk membolehkan kumpulan ini menubuh sebuah kerajaan negeri yang baharu.

Katanya, Hajiji telah menerima perakuan dan sokongan majoriti besar Adun Sabah untuk terus memimpin kerajaan negeri masa ini termasuk sokongan daripada tujuh Adun Pakatan Harapan (PH).

“Kami bersedia membuktikan keabsahan sokongan tersebut kepada pihak berwajib apabila dan sekiranya perlu.

“Suasana dan kedudukan politik di Sabah kekal stabil dan selamat untuk urusan perniagaan dan pelaburan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

DUN Sabah mempunyai 79 Adun iaitu 73 Adun yang dipilih dan enam Adun dilantik.

Kerajaan Sabah pada masa ini mempunyai sokongan 59 Adun iaitu 29 daripada GRS, Barisan Nasional (17), PH (7), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (3), Parti Bangsa Malaysia (1), Parti Harapan Rakyat Sabah (1), dan seorang Adun Bebas.

- Bernama