Skip to main
Logo Malaysiakini

Inspektor polis didakwa amang seksual, rogol remaja

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Seorang inspektor polis mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol remaja perempuan berusia 16 tahun pada 28 Disember lalu.

Mohd Maliki Azmi, 35, yang dihadapkan di Mahkamah Sesyen Sungai Petani hari ini turut mengaku tidak bersalah atas tiga lagi pertuduhan melakukan amang seksual ke atas mangsa tersebut.

Dia yang bertugas sebagai pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan, Kedah membuat pengakuan itu setelah pertuduhan dibacakan di depan hakim Roslan Hamid, menurut Kosmo hari ini.

Menurut New Straits Times, Mohd Maliki didakwa mengikut Seksyen 76(2)(f) Kanun Keseksaan (Akta 574) bagi pertuduhan rogol, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Tiga pertuduhan amang seksual pula dibuat mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792), yang membawa hukuman serupa jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Hizween Azleena Othman Kamal meminta mahkamah menetapkan ikat jamin RM20,000 bagi pertuduhan rogol dan RM15,000 bagi pertuduhan amang seksual.

Dia juga meminta mahkamah untuk mengarahkan tertuduh melapor diri di balai polis sekali sebulan serta menyerahkan pasportnya sepanjang kes dibicarakan.

Mohd Maliki yang tidak diwakili peguam kemudian memohon ikat jamin yang lebih rendah, atas sebab dia telah hilang punca pendapatan dan perlu menyara isteri dan ibu bapa.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000 bagi semua pertuduhan. Dia juga perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dilarang mengganggu mangsa.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 6 Februari ini.

Pada 2 Januari lalu, Harian Metro melaporkan Mohd Maliki didakwa melakukan kesalahan itu semasa melakukan soal siasat pada 28 Disember lalu, selepas mangsa ke balai untuk merakam kenyataannya berhubung dakwaan asal dirogol bapa tirinya.

Laporan itu memetik sumber sebagai berkata, tertuduh didakwa meminta untuk memeriksa bahagian sulit mangsa - kononnya sebagai sebahagian daripada proses siasatan.

Mangsa kemudian terpaksa menanggalkan pakaian dan berbaring di atas katil di dalam bilik penyiasatan di mana dia didakwa dirogol, menurut sumber itu lagi.

Mangsa membuat laporan polis tiga hari kemudian.