Skip to main
Logo Malaysiakini

'Umno tak jemput pimpinan tertinggi parti kerajaan ke PAU'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Umno tidak berhasrat untuk menjemput pimpinan tertinggi parti-parti yang terdapat dalam kerajaan bagi menghadiri perhimpunan agung parti itu, menurut presidennya Ahmad Zahid Hamidi.

Sebaliknya Zahid berkata Umno mungkin hanya akan menghantar jemputan kepada setiausaha agung setiap parti gabungan dalam kerajaan.

"Untuk Perhimpunan Agung Umno (PAU) akan datang kita belum berhasrat untuk jemput parti-parti di dalam kerajaan untuk hadir di dalam majlis ucapan dasar dan perasmian.

"Tetapi kita akan buat jemputan, mungkin pada peringkat awal pada setiausaha agung daripada parti-parti gabungan dalam kerajaan perpaduan," katanya ketika berucap dalam majlis menyampaikan amanat tahun baru Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, di Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata keputusan untuk menghantar jemputan kepada parti lain ke PAU akan dibincangkan majlis kerja tertinggi (MKT) terlebih dulu.

Kata Ahmad, MKT Umno akan mengadakan mesyuarat bulanannya pada hari ini dan isu tersebut akan dibincang dan diputuskan.

Umno dan BN kini merupakan sebahagian daripada kerajaan persekutuan yang dipimpin Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang memimpin PH yang menjadi seteru BN sejak sekian lama.

Namun, kedua-dua gabungan itu kini - PH dan BN - kini bersama-sama dalam kerajaan, selain Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan dan beberapa parti lain.

Sebelum ini, PAS pernah menjadi tetamu kehormat Umno dalam perhimpunan agung tahunan mereka di sebalik perseteruan yang berlanjutan selama lebih separuh abad.

PAU 2022 sebelum ini dijadualkan pada 21 hingga 24 Disember 2022 namun ditangguhkan kepada 11 hingga 14 Januari ini.