Skip to main
Logo Malaysiakini

Tiada pindaan perlembagaan halang jawatan presiden Umno dipertandingkan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Tiada sebarang pindaan Perlembagaan Umno dilakukan bagi membolehkan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti yang akan berlangsung tahun ini.

Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil, berkata perlembagaan Umno menetapkan bahawa jawatan presiden dan timbalan presiden perlu dipertandingkan dalam pemilihan parti.

Katanya, dia sedar ada pemimpin Umno yang tidak mahu jawatan berkenaan dipertandingkan bagi menjaga keutuhan parti daripada diganggu pihak lawan.

"Mengikut perlembagaan Umno kita tak boleh halang mana-mana individu bertanding (dalam pemilihan), kalau ada usul (supaya jawatan presiden, timbalan presiden tidak dipertandingkan) sekali pun kalau tak boleh, ia perlu kepada pindaan perlembagaan.

"Tidak ada apa-apa perbincangan untuk pinda perlembagaan bagi jawatan presiden, timbalan presiden tak dipertandingkan

"Kalau tak ada orang nak bertanding, 'top two' (presiden dan timbalan presiden) tak dipertandingkan," katanya ketika sesi bertemu media di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur, hari ini.

Jawatan presiden dan timbalan presiden Umno ketika ini disandang Ahmad Zahid Hamidi dan Mohamad Hasan.

Desakan supaya dua jawatan utama itu dipertandingkan kedengaran selepas BN hanya berjaya memenangi 30 kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Terdahulu hari ini, Ahmad Zahid berkata dia terbuka untuk dicabar sesiapa sahaja yang berhasrat untuk memegang jawatan nombor satu parti itu pada pemilihan parti akan datang.

Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata ia bagi memberi peluang kepada kira-kira 160,000 perwakilan untuk memilih pucuk pimpinan parti khususnya bagi jawatan presiden dan timbalan presiden.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis Amanat Tahun Baru 2023 Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Ahmad Zahid berkata terserah kepada perwakilan Umno untuk membuat pilihan masing-masing sekali gus menentukan hala tuju parti bagi memastikan Umno kekal relevan di pentas politik.

Mengulas lanjut, Isham berkata dia sedar pemimpin Umno yang tidak mahu jawatan penting itu dipertandingkan kerana ada pihak luar ingin merosakkan kerharmonian dalam Umno.

"Saya pergi (jumpa pemimpin) negeri ada usul yang tak mahu supaya jawatan presiden, timbalan presiden tak dipertandingkan.

"Yang bawa cerita ini (jawatan presiden tak dipertandingkan) bukan kita (Umno), orang yang bawa cerita orang Perikatan Nasional (PN) yang nak kita bertelagah,” katanya.