NGO rayu pengampunan diraja untuk banduan dipenjara seumur hidup
Suatu memorandum dihantar kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bagi merayu pengampunan diraja terhadap seorang banduan yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada 2001 atas kesalahan berkaitan senjata api.
Affandi Abdul Rahim, kini 42 turut dikenakan hukuman enam sebatan atas kesalahan itu.
Menurut memorandum oleh NGO Suara Rakyat Malaysia (Suaram) yang mewakili keluarga banduan tersebut, Affandi ditahan ketika berusia 20 tahun oleh anggota polis yang melakukan rondaan di Gombak, Selangor, kerana menunggang motosikal tanpa topi keledar.
Ketika ditahan, berlaku pergelutan dan Affandi kemudian merampas pistol polis itu dari pinggangnya dan mengacukan ke arah anggota berkenaan.
“Kes Affandi tidak dipertikaikan di mahkamah kerana terlepas tembakan di mana ia bukan salah pada sesiapa dan kesalahan beliau cuma mengajukan pistol kepada polis.
“Malah beliau tidak menyimpan pistol tersebut dan memberikan kepada pakciknya untuk dipulangkan kepada polis,” kata Suaram.
Kata NGO itu, tindakan Affandi kerana terkejut dan panik untuk bertindak balas apabila ditahan dengan polis.
“Hal ini diujarkan kerana hukuman yang diberikan kepadanya tidak setimpal dengan perbuatannya. Ini disebabkan dia tidak mempunyai niat langsung untuk mengancam konstabel yang terbabit.
“Tambahan pula, kesalahan beliau hanya bermula dengan kelalaian tidak memakai topi keledar dan tidak dengan niat untuk mengancam keselamatan mana-mana pihak,” dakwa Suaram.
Suaram juga berkata rayuan untuk pengampunan dibuat kerana pesalah merupakan seorang anak tunggal yang menyara ibunya serta bukan daripada keluarga senang.
“Ibu pesalah ini tidak mempunyai sumber pendapatan tetap dan perlu bergantung kepada bantuan oleh pihak Baitulmal, malah pembedahan tulang belakang ibunya pada tahun 2002 membataskan aktiviti seharian ibu tertuduh.
“Oleh yang demikian, adalah penting dan signifikan untuk Affandi dibebaskan dan dapat menjalankan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga untuk menyara dan membantu menampung perbelanjaan dan kehidupan keluarganya," kata Suaram lagi.
Sementara itu, ibu pesalah, Feridah Ismail, 68, memberitahu KiniTV Affandi seorang anak yang baik dan membantu menghantarnya ke tempat kerja setiap hari dengan menaiki motosikalnya.
“Dia tidak pernah mempunyai rekod jenayah atau menyebabkan kesusahan kepada orang lain sebelum kejadian yang membawa maut itu.
“Tiga hari lalu, dia menelefon saya mengatakan dia akan pulang ke rumah tidak lama lagi dan menjaga saya dan dia berdoa agar saya masih hidup,” katanya.
Feridah dilapor turut berdoa supaya Affandi yang sedang menjalani hukuman di penjara Tapah dibebaskan suatu hari nanti.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai