Skip to main
Logo Malaysiakini

PRN: Tak berbaloi PN guna bekas pemimpin Umno Selangor - Penganalisis

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Menghadapi PRN, gabungan PN dikatakan akan gunakan pengaruh Noh Omar untuk tawan Selangor, malah Azmin Ali juga yang dikatakan mahu tebus kekalahan PRU15.

Menggunakan bekas pemimpin kanan Umno untuk Perikatan Nasional mencapai impaian menawan Selangor pada pilihan raya negeri dilihat tidak berbaloi, memandangkan Umno bukanlah satu parti yang kuat di negeri pimpinan Pakatan Harapan sejak 2008, kata penganalisis politik Azmi Hassan (gambar, bawah).

Penganalisis politik dari Akademik Penyelidikaan Strategik Nusantara (NASR) itu berkata strategi PN seperti mana yang digunapakai di Perlis sewaktu pilihan raya umum, khususnya di kerusi Parlimen Arau, dengan meletakkan Shahidan Kassim di situ tidak boleh disamakan dengan situasi politik di Selangor.

“Yang dikatakan menggunakan bekas (pemimpin) Umno ini adalah tidak berbaloi kerana Umno di Selangor itu tak kuat.

“Kalau strategi menggunakan orng-orang kuat (seperti) bekas (pimpinan) PH atau bekas (pimpinan) PKR, itu memang ada logik dari segi strateginya,” katanya kepada Malaysiakini.

Ia merujuk kepada kenyataan Setiausaha agung PN Hamzah Zainudin pada Rabu, yang meramalkan bahawa akan menawan Selangor dalam PRN nanti.

Dalam kenyataannya itu, Hamzah menyatakan “jemputan” terhadap parti yang ingin bersama dengan gabungan itu sebagai sekutu baru bagi mengambil alih kerajaan persekutuan.

Mengakui bahawa jika gelombang yang menyebelahi PN itu sama seperti di negeri Pantai Timur dan beberapa negeri di Utara, ia merupakan sasaran yang baik sekiranya gabungan itu turut berjaya melakukan perkara yang sama di Negeri Sembilan dan Selangor.

Ketua Pembangkang Parlimen Hamzah Zainuddin.

“Kemungkinan kenapa Selangor diletakkan (dalam) keyakinannya adalah kerana mungkin dengan menggunakan orang-orang Umno yang terpisah, seperti (bekas pengerusi perhubungan Umno Selangor) Noh Omar umpamanya.

“Tapi hakikatnya, apa yang berlaku di Perlis seperti (terhadap) Shahidan Kassim, tak sama kalau nak dibandingkan dengan Noh Omar di Selangor kerana di sebelah Perlis ada gelombang yang lebih besar.

“Tapi di Selangor, di Negeri Sembilan dan kebanyakan di negeri-negeri sebelah Barat tidak berlaku gelombang itu,” katanya ketika mengulas jika PN akan memanfaatkan pengaruh Noh Omar sebagai senjata untuk merampas Selangor daripada PH.

Untuk rekod, PN berjaya “menyapu bersih” kerusi parlimen di Perlis pada PRU15 baru-baru ini.

Di peringkat DUN Selangor, PAS yang merupakan sebahagian daripada PN hanya mewakili satu kerusi di Sijangkang.

“Bagi saya, PN perlu lakukan sesuatu yang lebih lagi, untuk merampas Selangor dan juga Negeri Sembilan dalam hal ini kerana dalam masa empat hingga lima bulan ini, PN perlu membuktikan bahawa mereka adalah kumpulan yang lebih layak untuk memerintah dan mentadbir negara.

“Walaupun mereka sebagai pembangkang, tetapi peluang itu ada kerana kumpulan mereka adalah agak besar sebagai pembangkang dan dengan cara untuk membuktikannya adalah menjadi pembangkang yang lebih baik, lebih konstruktif, yang bila ada kritikan terhadap kerajaan, ia adalah kritikan yang logik dan boleh diterima akal,” kata Azmi.

Noh didakwa akan bantu PN untuk PRN

Sementara itu, Felo Penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) Awang Azman Awang Pawi tidak menolak PN akan menggunakan individu berpengaruh dalam BN Selangor seperti Noh untuk kerjasama menawan Selangor.

Katanya, selain Noh, tokoh popular di negeri itu seperti Azmin Ali yang juga merupakan bekas menteri besar akan turut menjadi peranan penting dalam usaha tersebut.

“Tidak mustahil bekas pemimpin Umno yang berpengaruh seperti Noh Omar akan diperlukan untuk membantu PN dalam kerjasama menawan Selangor.

“Ini pernah berlaku seperti menggunakan ahli politik kitar semula seperti Shahidan Kassim di Perlis.

“Malah peranan Azmin juga dimanfaat sebagai harapan terakhir Azmin tebus kekalahan (PRU15) parlimen lepas dan kini fokus DUN,” katanya.

Untuk rekod, Noh antara daripada sekumpulan calon veteran atau calon boleh menang Umno yang digugurkan di kerusi parlimen menjelang PRU15, sehingga mengakibatkan perpecahan dalam parti itu.

Pensyarah kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Jamaie Hamil turut senada dengan Awang Azman berhubung ramalan menggunakan Noh sebagai individu yang dianggap dapat mempengaruhi undi di Selangor.

Namun katanya, pengaruh bekas ahli parlimen Tanjung Karang itu terhad kepada beberapa kawasan luar bandar di negeri itu.

“Pengaruh Noh Omar itu boleh dipakai tetapi barangkali ia berkesan di kawasan Selangor seperti di Kuala Selangor dan Sabak Bernam termasuklah di Tanjung Karang.

“Pengaruh Noh Omar nampaknya hanya kuat di situ…

“Tak seluruh negeri Selangor walaupun dia merupakan bekas pengerusi badan perhubungan Umno Selangor,” katanya.