Skip to main
Logo Malaysiakini

Adun Umno jumpa Hajiji di tengah spekulasi rampasan kuasa di Sabah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sejumlah tujuh Adun Umno mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah hajiji Mohd Noor di kediamannya semalam, di tengah spekulasi wujudnya gerakan untuk menjatuhkan kerajaan negeri pimpinan GRS-BN.

Menurut Berita Harian, pertemuan itu yang diketuai Timbalan Pengerusi Umno Sabah Yakub Khan diadakan selepas Hajiji berjumpa pimpinan Umno negeri di ibu pejabat parti itu, petang semalam.

Tujuh Adun tersebut adalah:

  • Andi Muhammad Suraydy Bandi (Tanjung Batu)

  • Mohd Hamsan Ag Supain (Sungai Sibuga)

  • James Ratib (Sugut)

  • Yusof Yacob (Sindumin)

  • Harun Durabi (Bengkoka)

  • Raimie Unggi (Adun lantikan)

Empat daripada mereka merupakan pembantu menteri dalam kerajaan negeri.

Menurut laporan itu lagi, Hajiji turut bertemu dengan Adun PH dan GRS dalam satu acara sebelum ke perjumpaan di ibu pejabat Umno.

"Terdahulu, petang tadi (semalam) Hajiji Noor menghadiri Majlis Ramah Mesra Tahun Baru 2023 bersama semua Adun GRS dan PH yang menyatakan sokongan tak berbelah bahagi kepada kepemimpinan Hajiji," kata Bendahari GRS Mohd Ariffin Arif seperti dipetik.

Semalam, semua Adun Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star) turut menyatakan sokongan kepada Hajiji.

Terdahulu, Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) Ewon Benedick menyuarakan harapan agar Adun dan pemimpin PH Sabah disertakan menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri.

"“Kita (PH, GRS dan BN) telah bersama membentuk kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan, jadi saya harap peringkat Sabah ada mekanisme bagaimana perpaduan itu diperkasakan di peringkat kerajaan negeri, bagaimana PH boleh menjadi sebahagian daripada kerajaan Sabah," katanya seperti dipetik Bernama.

Walaupun dengan spekulasi berkenaan kedudukan kerajaan negeri, Hajiji berkata pertemuan semalam membincangkan usaha untuk membangunkan negeri pada tahun ini.

"Insya-Allah semuanya akan tercapai dengan kerjasama, kestabilan, perpaduan dan kesepakatan kita semua," katanya ringkas di Facebook.

Pengerusi Umno Sabah merangkap timbalan ketua menteri Bung Moktar Radin turut menyangkal spekulasi tersebut, berkata pertemuan Umno selama adalah "pertemuan biasa" untuk membincangkan hala tuju parti.

Keadaan di Sabah kian mengundang perhatian selepas Presiden Warisan Shafie Apdal memanggil sidang media semalam, di mana dia didakwa akan mengumumkan memiliki sokongan yang cukup untuk menjatuhkan pentadbiran Hajiji.

Sidang media itu, yang dijadual pada 4.30 petang, dibatalkan kira-kira dua jam kemudian.

Sementara itu, tujuh Adun PH semalam berkata mereka tidak membuat akuan berkanun (SD) untuk menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak selepas 2020.

Setiausaha Agung GRS Masidi Manjun pula berkata pihaknya sedia membuktikan Hajiji memiliki sokongan majoriti di DUN.

DUN Sabah memiliki 79 Adun dengan enam daripadanya merupakan Adun lantikan.

Kerajaan negeri kini memiliki sokongan 60 Adun, merangkumi 29 orang dari GRS, BN (17), PH (tujuh), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (tiga), Parti Bangsa Malaysia (satu), Parti Harapan Rakyat Sabah (satu), PN (satu) dan Bebas (satu).

Warisan pula memegang 19 DUN.