Skip to main
Logo Malaysiakini

Upko: Politik Sabah perlu stabil demi pembangunan, MA63

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sebarang usaha untuk menggulingkan kerajaan negeri sedia ada di bawah pimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor boleh merencatkan komitmen kerjasama yang dibina oleh kerajaan Sabah bersama kerajaan persekutuan ketika ini.

Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Ewon Benedick berkata kestabilan kepimpinan politik di Sabah amat penting demi mengekalkan momentum pembangunan negeri serta pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Dengan tertubuhnya kerajaan perpaduan di persekutuan, agenda melaksanakan MA63 adalah antara keutamaan berdasarkan kekerapan perbincangan jemaah menteri termasuk pengiktirafan Jabatan Kerja Raya dan kerajaan Sabah bagi melaksanakan perolehan terus projek bernilai RM50 juta ke bawah.

"Saya berpendirian momentum ini perlu dikekalkan dan tidak seharusnya digugat dengan sebarang cubaan menggulingkannya (Hajiji),” kata ahli parlimen Penampang itu kepada pemberita selepas mengadakan program tinjauan mesra di Tamu Mingguan Taginambur di Kota Belud, Sabah hari ini.

Ewon yang juga Adun Kadamaian berkata di bawah kepimpinan Hajiji, negeri itu telah berjaya meraih hasil lebih RM6 bilion pada tahun lepas, yang merupakan prestasi terbaik Sabah selepas bersama membentuk Malaysia pada 1963, sekali gus menjadi bukti ketokohannya.

Dalam pada itu, Ewon turut memaklumkan kesemua tujuh Adun daripada PH telah membuat ketetapan konsensus untuk tidak menyokong sebarang usaha menggulingkan Hajiji yang telah mengangkat sumpah sebagai ketua menteri selepas PRN Sabah ke-16 pada 2020.

“Ketua menteri telah mengangkat sumpah selepas proses pilihan raya dan membentuk kerajaan negeri. Pilihan raya negeri hanya akan diadakan dalam tempoh tiga tahun lagi, jadi parti-parti politik boleh mengambil bahagian dan berunding mengenai penubuhan kerajaan pada masa itu, bukannya pada masa ini,” katanya.

Oleh itu, dia menegaskan sebarang usaha menggulingkan Hajiji melalui rundingan 'pintu belakang' tidak sepatutnya dilakukan.

-Bernama