Skip to main
Logo Malaysiakini

KDM dakwa Hajiji tiada lagi majoriti, PH nafi ada buat pusingan U

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Tiga Adun dari Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) berpandangan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor tidak lagi mempunyai sokongan majoriti sebagai ketua menteri.

Presiden KDM Peter Anthony berkata Perlembagaan Negeri Sabah menggariskan bahawa ketua menteri sebagai ketua parti perlu mendapat sokongan majoriti dalam DUN Sabah.

“Oleh itu, di bawah Perkara 7(1) Perlembagaan Negeri Sabah, Adun Sulaman Hajiji Noor hendaklah meletakkan jawatan serta-merta,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Dia berkata KDM akan menyerahkan kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin untuk memutuskan pelantikan ketua menteri baru berdasarkan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Negeri Sabah.

Peter Anthony

DUN Sabah mempunyai 79 Adun dengan enam daripadanya adalah Adun lantikan.

Dengan langkah KDM itu, serta Umno dan BN Sabah yang menarik sokongan terhadap Hajiji malam tadi, kerajaan Sabah kini hanya mempunyai sokongan 38 Adun, iaitu 29 daripada GRS, tujuh daripada PH dan masing-masing seorang Adun bebas dan Parti Harapan Rakyat Sabah.

Sekurang-kurangnya 40 kerusi diperlukan untuk mencapai majoriti mudah, manakala BN memiliki 18 kerusi, KDM tiga kerusi dan PAS satu kerusi.

Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin malam tadi mengumumkan pihaknya menarik balik sokongan terhadap Hajiji sebagai ketua menteri, sekali gus menarik diri daripada kerajaan negeri.

Bung Moktar

Bung Moktar berkata keputusan itu dibuat selepas mesyuarat bersama Adun dari gabungan itu.

Dia juga mendakwa Hajiji melanggar persefahaman dengan BN Sabah yang diadakan ketika gabungan itu memberi sokongan kepadanya selepas pilihan raya negeri.

“Ini jelas, di mana Hajiji telah melanggar persefahaman tersebut di mana hari ini dia mengeluarkan surat penamatan jawatan Salleh Keruak selaku pengerusi Khazanah Nasional.

“Hajiji juga mengugut kita dengan reshuffle (rombakan) kabinet tanpa berbincang dan tanpa berunding," kata Bung.

Dia bagaimanapun mengakui ada lima Adun dari BN yang masih memberi sokongan kepada Hajiji.

Sementara itu, tujuh Adun PH Sabah melahirkan rasa kesal dengan laporan berita The Star yang bertajuk "Pakatan's last-minute U-turn derailed move to oust Hajiji, say sources".

Dalam satu kenyataan bersama, mereka berkata sumber itu membuat dakwaan tidak benar dan menyiarkan kandungan berbaur fitnah dengan tujuan memburukkan nama PH Sabah.

“PH Sabah tidak pernah setuju ataupun memberi sokongan kepada mana-mana pihak bagi menjalankan gerakan untuk menubuh sebuah kerajaan baru melalui pintu belakang.

"PH Sabah juga mengambil pendirian untuk mengutamakan kestabilan politik, ekonomi dan kebajikan rakyat Sabah, bukan jawatan dan kuasa,” kata mereka.