Skip to main
Logo Malaysiakini

JPS Kelantan bina longkang bernilai RM12.88 juta di Kota Bharu

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan sedang melaksanakan tiga projek pembinaan longkang membabitkan jajahan Kota Bharu berjumlah RM12.88 juta.

Pengarahnya Kamal Mustapha berkata kawasan terlibat adalah Balai Bomba Ketereh, Klinik Kesihatan Kok Lanas dan Sekolah Kebangsaan Ketereh.

"Pihak kami telah membuat permohonan ini dengan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta kerajaan negeri untuk membina saliran yang sempurna di kawasan-kawasan 'hotspot' banjir.

"Kerja-kerja pembinaan longkang dan penyelenggaraan ini boleh dilaksanakan di kawasan atau jajahan lain juga, namun bergantung peruntukan yang diterima," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Mengulas lanjut, Kamal berkata lima lagi projek dalam proses tender di Kota Bahru adalah projek saliran di Kampung Kota, Taman Wadi Iman, Pasar Kedai Mulong, belakang Istana Negeri Kubang Kerian dan kampung Baruh Kadok Batu 8.

"Kerajaan negeri juga meluluskan satu projek kerja-kerja menaik taraf longkang serta kerja berkaitan di Kampung Seberang, Pasir Mas dan Salor, Kota Bharu berjumlah RM339,000 tahun lalu," katanya.

Beliau berkata sebanyak 615 projek bagi kerja-kerja pemuliharaan sungai untuk mengurangkan risiko banjir turut dilaksanakan tahun lalu dengan kos RM27.74 juta.

"Skop pemuliharaan sungai merangkumi penstabilan tebing, penyelenggaraan sungai dan pengorekan sungai yang setiap tahun memerlukan kira-kira RM10 juta hanya untuk menyelenggarakan sungai," katanya menambah satu projek dalam proses tender iaitu pemuliharaan sungai Machang.

Sebelum ini, Bernama melaporkan penduduk menggesa isu peparitan dan saliran di Kelantan perlu dipandang serius oleh semua pihak terutama kerajaan negeri supaya kejadian banjir kilat tidak berulang lagi pada masa akan datang.

Berdasarkan rekod Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) sebanyak 595 lokasi hotspot banjir dikenal pasti di Kelantan dengan jajahan Pasir Mas mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 81 lokasi, diikuti Machang (64 lokasi) dan Gua Musang (48 lokasi).

- Bernama