Skip to main
Logo Malaysiakini

Hamzah jumpa Bersatu Sabah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin dilaporkan akan mengadakan mesyuarat khas dengan Bersatu Sabah tengah hari ini.

Dia juga dijangka akan mengadakan sidang media selepas pertemuan itu, lapor Astro Awani.

Ia berlaku tengah-tengah kemelut politik di Sabah selepas BN negeri menarik balik sokongannya kepada ketua menteri Hajiji Noor pada Jumaat.

Hajiji bertemu gabenor Sabah Juhar Mahiruddin petang Sabtu di Istana Seri Kinabalu selama hampir sejam.

Bagaimanapun, ketua menteri itu tidak memberikan sebarang maklum balas kepada media yang ditempatkan di luar istana ketika meninggalkan mesyuarat semalam.

Sebelum mesyuarat itu, Hajiji sebelum ini mengumumkan bahawa kabinet negeri akan dirombak, dengan butiran lanjut akan diumumkan selepas itu.

Selain Pengerusi Perhubungan Umno Sabah Bung Moktar Radin yang telah menarik balik sokongannya kepada Hajiji, Peter Anthony dari Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) turut melakukan perkara yang sama.

Bagaimanapun, Bung sendiri mengakui tidak semua Adun Umno-BN bersetuju dengan tindakan menarik balik sokongan terhadap Hajiji.

Lima Adun Umno Sabah juga telah tampil untuk mengumumkan sokongan tidak berbelah bahagi mereka kepada Hajiji sebagai ketua menteri.

Mereka merupakan Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat), Jasnih Daya (Pantai Dalit), James Ratib (Sugut), Yusuf Yacob (Sindumin) dan Mohd Arsad Bistari (Tempasuk).