Skip to main
Logo Malaysiakini

Kemelut Sabah: Istana Seri Kinabalu, kediaman rasmi KM kekal jadi tumpuan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Istana Seri Kinabalu dan kediaman rasmi ketua menteri di Sri Gaya di Kota Kinabalu hari ini masih menjadi tumpuan terutama buat pengamal media Sabah berikutan situasi politik ketika ini.

Pengamal media dilihat berkumpul seawal pukul sembilan pagi di Istana Seri Kinabalu bagi memantau pergerakan pemimpin, namun sehingga berita ini ditulis tiada makluman rasmi untuk sebarang acara bagi liputan di istana itu.

Sri Gaya yang menjadi lokasi pertemuan pemimpin negeri terutama daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga dilihat menjadi tumpuan dengan pengamal media dijangka berkumpul bagi mengetahui situasi politik semasa negeri.

Semalam, Hajiji mendakwa beliau telah memperoleh sokongan 44 Adun Sabah antaranya daripada GRS, PH dan BN, justeru kerajaan Sabah masih kekal serta utuh dan beliau masih Ketua Menteri pada masa ini.

Seramai 29 daripada 44 Adun adalah daripada GRS manakala PH (7), BN (5), PAS (1), Parti Harapan Rakyat Sabah (1) dan Bebas (1).

Bagaimanapun, Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin semalam menegaskan kerajaan Sabah pada masa ini sudah tiada dan jawatan ketua menteri disandang Hajiji sudah terlerai dengan tindakan BN Sabah menarik sokongan daripada kerajaan negeri pada Jumaat lepas.

Pada Sabtu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin Sabah bagi membincangkan isu politik negeri ini sebaik pulang daripada lawatan rasmi ke Indonesia dijadual hari ini.

-Bernama