Skip to main
Logo Malaysiakini

'Tindakannya sangat tak wajar' - NGO anggap pemecatan Tian Chua adil

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Otai Reformis 1998 berpandangan tindakan PKR memecat Tian Chua selepas bertanding di kerusi Parlimen Batu sebagai calon bebas pada PRU15 sebagai adil.

NGO yang dikaitkan dengan PKR itu berkata ini kerana tindakan tersebut dibuat berlandaskan perlembagaan parti.

"Saya rasa itu keputusan yang adil, ia bukan menghukum seseorang tanpa melalui proses hukum berdasarkan kepada perlembagaan parti

"Sayangnya segala nasihat yang diberikan tidak diendahkan dan beliau nekad melakukan perkara yang sangat tidak wajar iaitu bertanding pada PRU15," kata pengerusi protemnya Mustapha Mansor Amer Mohd Isa kepada Malaysiakini.

Semalam, Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Tan Yee Kew memaklumkan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti telah memutuskan untuk memecat Tian Chua serta empat lagi anggota kerana bertanding sebagai calon bebas dalam PRU lalu.

Dia bertanding sebagai calon bebas di kawasan Parlimen Batu - kerusi yang dipengangnya antara 2008 hingga 2018 - dan berdepan penyandang dari PKR, P Prabakaran.

Mengulas pemecatannya, Tian Chua hari ini berkata akur dengan keputusan itu tetapi pada masa sama tetap "sedih dan kecewa".

Dia yang sudah bersama PKR sejak era Reformasi pada akhir 1990-an turut membangkitkan pemecatannya itu bertentangan dengan pendekatan rekonsiliasi dalam politik negara pada masa ini.

"Bahkan musuh lama termasuk mereka yang didakwa pengkhianat telah berdamai dan berikrar untuk bekerjasama dalam pembentukan kerajaan perpaduan," katanya.

Sementara itu, Mustapha berkata Tian Chua bukanlah pemimpin pertama yang tidak lagi bersama dengan parti setelah apa yang didakwanya "tidak diberi kedudukan dan pangkat".

"Ujian selalu datang kepada sesiapa sahaja dan ini adalah pengukur kekuatan seorang pemimpin. Kita tahu sebelum ini ada beberapa pemimpin yang akhirnya gugur di tengah jalan hanya kerana mereka tidak diberi kedudukan tidak diberi pangkat diberi apa-apa sebagainya

"Tindakan melepaskan perjuangan hanya kerana tidak diberi kedudukan sangat merugikan dan rakyat akan melihat bahawa perjuangan reformasi ini seolah-olah hanya untuk mendapatkan jawatan dan kedudukan.

"Saya bagi pihak Otai Reformasi menyeru kepada semua pejuang reformasi, sama ada yang sudah lanjut usia atau pun yang baru menyertai parti, untuk sama-sama menilai diri dan bersihkan niat kita untuk khidmat untuk negara dan rakyat," katanya lagi.