Skip to main
Logo Malaysiakini

MB Kedah: Penjualan arak dibenar hanya di kawasan bukan Islam

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kedah mengawal penjualan arak dengan menghadkan penjualannya hanya di kawasan yang didiami oleh orang bukan Islam, kata Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor.

Dia berkata penjualan arak hanya boleh dilakukan di premis yang dibenarkan dengan populasi besar penduduk bukan Islam sahaja.

"Orang bukan Islam diberi kebenaran untuk minum arak tetapi ia tidak boleh dijual secara terbuka di tempat-tempat lain seperti di kampung-kampung.

“Kerajaan negeri komited menghadkan penjualan minuman keras serta memastikan penjualannya tidak melebihi keperluan,” katanya kepada organ rasmi PAS, Harakahdaily.

MB Kedah membuat keputusan ini pada 14 Nov 2021 selaras dengan larangan kerajaan negeri terhadap operasi perjudian berlesen.

Sanusi berkata langkah itu bagi mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan pada masa sama tidak menafikan hak orang bukan Islam untuk minum arak.

"Saya mahu orang ramai terkawal daripada perkara seumpama itu seperti mabuk.

"Tapi sebaiknya tak payahlah minum walaupun tiada larangan kepada non Muslim kerana alkohol tetap tidak baik,” katanya lagi.

Sanusi juga menjelaskan penjualan arak di pulau bebas cukai Langkawi bukan di bawah bidang kuasa kerajaan Kedah, sebaliknya tanggungjawab Kementerian Kewangan.