Skip to main
Logo Malaysiakini

'Bawa bertenang' - Shahelmy nasihat pembangkang Sabah

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Timbalan Ketua Menteri III Sabah yang baru dilantik Shahelmey Yahya menasihatkan mereka yang menentang Ketua Menteri Hajiji Noor supaya menjadi pembangkang yang membina.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah anggota kabinet baru hari ini, Shahelmy (gambar, judul atas) berkata rombakan kabinet merupakan salah satu cara untuk mematuhi saranan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan perpaduan.

"Yakni merupakan satu daripada formula kerajaan perpaduan dengan rombakan kabinet baru, telah masukkan tiga muka baru, dua (Adun) PH dan satu BN.

"Sudah tentu (wakil) daripada Warisan dan daripada satu kumpulan yang telah mengadakan penentangan terhadap KM Hajiji itu memang kita telah persetujui bersama tidak akan menerima mereka.

"Jadi mereka kena terima hakikat cooling off (untuk bertenang) dan jadilah pembangkang yang membina.

“Dan sama-sama kita tumpukan urusan membangunkan Sabah dulu sehinggalah masanya tiba 2025 apabila tempoh penggal tamat dan kita akan serahkan kepada rakyat untuk mendapat mandat," kata Shahelmey kepada pemberita.

Terdapat dua Adun BN dalam kabinet Hajiji, berkurangan daripada empat wakil sebelum ini.

Shahelmey (BN-Tanjung Keramat) hari ini dinaikkan pangkat daripada menteri pembangunan masyarakat kepada timbalan ketua menteri III dan menteri kerja raya manakala James Ratib (BN-Sugut) menyertai kabinet selepas berkhidmat sebentar sebagai pembantu menteri.

Gambar fail, Bung Moktar dan Hajiji.

Kedua-dua wakil rakyat ini antara lima AnBN yang enggan mematuhi keputusan pemimpin BN Sabah Bung Moktar Radin pada Jumaat lepas untuk menarik balik sokongan terhadap Hajiji.

Apabila Hajiji membentuk kabinet pertamanya pada 2020, dia melantik Bung sebagai timbalan ketua menteri I.

Awal hari ini, Bung memberitahu Malaysiakini bahawa BN Sabah tidak membenarkan penyertaan Shahelmey dan James dalam kabinet Hajiji.

Shahelmy memberitahu pemberita dia masih ahli Umno dan telah bertemu presiden parti Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa.

Dia juga mengesahkan tidak akan menghadiri perhimpunan agung Umno yang akan bermula Jumaat ini.

"Tidaklah. Saya bukan perwakilan ke PAU 2022.

“Memandangkan saya portfolio baru, saya memfokuskan (tugasan baru saya itu) terlebih dahulu," jelasnya.

[Baca berita asal]