Skip to main
Logo Malaysiakini

PULASAN | Dilema Umno kini: Mahu tapi malu

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PULASAN | Perlahan-lahan dan malu-malu, Umno memulakan perhimpunan terbesar tahunannya dengan mendendangkan irama yang memiliki talaan baru.

Bermula dengan naratif yang berbingkai sesuai dengan keadaan semasa sebelum ini, ucapan Mohamad Hasan malam tadi meneruskan rantaian yang digarap awal.

Umno menghalakan serangan kepada Perikatan Nasional (PN), dan pada masa sama agak tersipu-sipu menyentuh musuh tradisi mereka selama ini: DAP dan PKR, serta Pakatan Harapan (PH).

Ia adalah situasi yang sangat mudah difahami. Dalam keadaan hanya memiliki 30 kerusi parlimen dan terpaksa bergantung kepada sokongan PH di Perak dan Pahang, apalah pilihan yang ada di tangan Umno?

Tetapi situasinya agak sukar. Di depan Umno ialah persimpangan dengan salah satu laluannya ialah masa depan parti, dan satu lagi ialah wajah-wajah ahli pelbagai peringkat.

Di belakang Umno pula ialah pelbagai kisah berwarna merah dan marah kepada parti seperti DAP, PKR dan Amanah.

Di kanan pula ialah Putrajaya yang berkilau, dengan sesekali cahayanya menyilaukan mata, manakala di kiri pula ialah kenangan ngeri menjadi pembangkang selama 22 bulan.

Di atas mereka pula ialah kenang-kenangan menjadi 'rakan kongsi' kepada kerajaan PN. Ia bukanlah seindah mana. Jika sebelumnya mereka mentertawakan PH kerana menjadi kerajaan 22 bulan, kerajaan PN pula bertahan lebih singkat.

Mulakan irama baru

Lebih pedih, kerajaan seterusnya - yang dipimpin Ismail Sabri Yaakob - lebih singkat hayatnya. Jadi, apa pilihan yang ada selain menelan saja kepahitan yang ditempah sendiri.

Maka dalam malu-malu Umno terpaksa memulakan irama baru.

Untuk memaksakan perubahan sikap kepada parti yang pernah dimusuhi, dimaki, dikeji, dicemuh dan seumpamanya memang tidak mudah. Sama ada ia akan menyebabkan kesipuan sendiri atau mengundang keliru ahli parti, kedua-duanya bukan pilihan yang baik.

Justeru wajarlah Umno bermain di gigi air terlebih dulu untuk menduga sejauh mana riaknya akan memberi kesan. Namun dengan sifat semula jadi parti itu, ia dijangka tidak akan berdepan dengan banyak rintangan.

Tambahan pula ketika ini Umno mempunyai musuh baru yang bernama PN.

Apa yang perlu dilakukan ialah memberikan naratif yang sedikit berbeza daripada sebelum terbentuknya kerajaan perpaduan. Jika dulu Umno bermain dengan sentimen Melayu-bukan Melayu dengan ketara, kini parti itu boleh mencuba resipi kesederhanaan, ekstrem, aliran kiri, aliran kanan dan pembelotan.

Hujah bahawa PN - khususnya Bersatu - mahu membunuh Umno juga diyakini boleh diterima sebahagian besar ahli parti berkenaan. Ia menjadi lebih mudah apabila PN berjaya menumbangkan begitu ramai calon Umno-BN di Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.

Umno-BN bukan kalah kepada PH, tetapi PN.

Mohamad sudah memulakan langkah itu malam tadi. Hari ini terserah kepada Pemuda, Wanita dan Puteri Umno untuk mengolahnya. Kemudian esok lusa ia akan diteruskan oleh perwakilan lain pula.

Pedulilah kalau mereka kelihatan malu-malu pun. Benda baru memang begitu. Tetapi ia adalah pilihan terbaik yang ada buat Umno, atau mereka akan terus kesipuan ditolak rakyat.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.