Skip to main
Logo Malaysiakini

Anwar: Belum bincang PRN, tumpu tugas PM dulu

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata ketika ini dia memberi keutamaan tumpuan kepada tugas-tugasnya mentadbir kerajaan dan masih terlalu awal membincangkan pilihan raya negeri (PRN) bagi enam DUN.

Jelas Anwar yang juga menteri kewangan, pembubaran DUN merupakan bidang kuasa menteri besar negeri berkenaan.

"Kita akan bincang (kerana masih) terlalu awal bagi saya.

“Dalam sebulan dua ini hanya tumpu soal kerja, belum lagi bincang soal PRN," katanya dipetik laporan Berita Harian selepas bertemu kakitangan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Kuala Nerus, hari ini.

Terdahulu, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menerima Anwar menghadap di Istana Syarqiyyah di Kuala Terengganu.

Ditanya jika ada masa yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya negeri, Anwar berkata dia akan menyerahkannya kepada pentadbiran negeri masing-masing.

"(PRN) ini soal urusan negeri cuma dia akan tetapkan yang sesuai (tetapi) kalau idealnya semua sekali tetapi dia bukan di bawah bidang kuasa saya," katanya.

Semalam, Pengerusi PH Kedah Mahfuz Omar dipetik berkata kerjasama antara gabungan itu dan BN untuk enam pilihan raya negeri akan datang hampir pasti berlaku.

Terdahulu, Pengerusi PH Negeri Sembilan Aminuddin Harun berkata dia tiada masalah bekerjasama dengan BN bagi menghadapi pilihan raya negeri.

Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang yang diterajui PH serta Kedah, Kelantan dan Terengganu di bawah pentadbiran PAS akan terlibat dalam pilihan raya negeri tahun ini.