Skip to main
Logo Malaysiakini

Shafie: Hajiji abai saranan PM tubuh kerajaan perpaduan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor didakwa membelakangi persetujuan untuk menubuhkan kerajaan perpaduan di negeri itu, yang turut disarankan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal berkata saranan itu dipersetujui dalam pertemuan melibatkan partinya, Umno, Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (KDM) dan Anwar pada 9 Januari lalu.

Turut dipersetujui adalah penubuhan jawatankuasa khas secara segera bagi memperincikan butiran berkaitan kerajaan tersebut, katanya lagi.

"Namun majlis angkat sumpah ahli jemaah menteri baru Sabah telah berlangsung walaupun ia tidak menggambarkan satu kerajaan perpaduan.

"Tindakan Hajii telah membelakangi saranan perdana menteri dan melanggar persetujuan dan kesepakatan yang telah dicapai," dakwanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Shafie, cadangan kerajaan itu, yang selari dengan kerajaan persekutuan, akan memastikan kestabilan politik dan menamatkan masalah politik di Sabah.

Anwar di kediaman rasmi KM

Namun, kenyataan Shafie berkenaan penglibatan Anwar bertentangan dengan kenyataan Timbalan Ketua Menteri I Sabah Jeffrey Kitingan semalam.

Dalam sidang media semalam, Kitingan berkata Anwar menghubungi Hajiji pada Selasa malam, iaitu sebelum menteri baru mengangkat sumpah, bagi menyatakan dia berpuas hati dengan barisan kabinet baru.

Anwar tiba di Kota Kinabalu pada Isnin malam dan dibawa ke sebuah hotel untuk bertemu dengan Shafie, Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin dan Presiden KDM Peter Anthony.

Selepas pertemuan itu, Anwar dan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi kemudian ke kediaman rasmi ketua menteri untuk bertemu Hajiji.

Walaupun Anwar dilihat komited kepada penubuhan "kerajaan perpaduan", dua Adun PH dilantik ke dalam kabinet Hajiji, sementara Bung dan 11 lagi Adun BN menyertai Warisan sebagai pembangkang di DUN.

Ketidakstabilan yang berlaku bermula pada Jumaat lalu selepas Adun BN menarik balik sokongan kepada Hajiji sebagai ketua menteri.

Namun, lima daripada 17 Adun BN kekal menyokong Hajiji. Tujuh Adun PH juga menyuarakan sokongan kepada Hajiji.