Skip to main
Logo Malaysiakini

Saman bunuh Altantuya: K'jaan, Razak Baginda ke Mahkamah Rayuan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kerajaan dan penganalisis politik Abdul Razak Baginda telah merayu untuk membatalkan keputusan mahkamah yang mengarahkan mereka membayar RM5 juta kepada keluarga model Mongolia Altantuya Shaariibuu yang dibunuh.

Ketika dihubungi petang ini, peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili keluarga Altantuya mengesahkan bahawa kedua-dua defendan telah memfailkan notis rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 16 Dis tahun lepas.

Katanya, keluarga telah menerima salinan notis rayuan baru-baru ini.

Ketika dihubungi, peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan turut mengesahkan bahawa kerajaan memfailkan rayuannya itu.

Pada 16 Dis, Mahkamah Tinggi memerintahkan kerajaan dan Razak serta dua defendan lain - bekas komando Unit Tindakan Khas Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar - membayar pampasan RM5 juta kepada keluarga itu berhubung pembunuhannya pada 2006.

Keputusan hakim mahkamah sivil Vazeer Alam Mydin Meera yang memihak kepada keluarga Altantuya pagi ini dibuat 15 tahun selepas tindakan sivil difailkan pada 2007.

Tiga plaintif - Shariibuu Setev dan Altantseseg Sanjaa yang merupakan bapa dan ibu mendiang, serta abang Altantuya, Mungunshagai Bayarjargal - memfailkan saman RM100 juta.

Saman itu menyasarkan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) - Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar - serta penganalisis politik Abdul Razak Baginda dan kerajaan Malaysia.

Shariibuu Setev.

Azilah dihukum mati dan kini berada di penjara. Sementara itu, Sirul melarikan diri ke Australia, sebelum mahkamah tertinggi Malaysia mengekalkan sabitan dan hukuman mati kedua-duanya pada 2015.

Mahkamah Persekutuan membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang membatalkan keputusan bersalah kedua-dua lelaki itu. Sirul terbang ke Australia selepas keputusan Mahkamah Rayuan dan semasa pihak pendakwaan merayu di mahkamah tertinggi.

Sirul kini berada di bawah jagaan pihak berkuasa Australia, yang mempunyai dasar untuk tidak menghantar pulang sesiapa yang menghadapi hukuman mati di negara asal.

[Baca berita asal]