Orang ramai tak puas hati kos umrah melonjak 400%
Walaupun isu peningkatan kos umrah sering terjadi namun peningkatan drastik yang dilapor dengan lonjakan 400 peratus kos menimbulkan rasa tidak puas hati orang ramai.
Ini berikutan kenaikan harga tiket kapal terbang, visa ke Arab Saudi serta kos penginapan hotel di Mekah dan Madinah.
Malaysiakini membuat tinjauan pendapat orang ramai mengenai isu itu.
Menurut Ismail Hasyim, 60, (gambar, bawah) yang merupakan pekerja Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi berpendapat peningkatan kos umrah ini tidak seharusnya berlaku disebabkan hotel di Arab Saudi terkesan dengan masalah kelembapan ekonomi ketika Covid.
Baginya, Arab Saudi perlu lebih mempertimbangkan bahawa ekonomi semua negara juga terkesan dengan masalah Covid-19.
“Mungkin kadar boleh dinaikkan tapi dengan lebih bertimbang rasa bukan melonjak sampai 400 peratus.
“Pada saya benda ni harus difikirkan semula terutama oleh kerajaan Arab Saudi di mana pakej umrah melambung tinggi,” ujarnya.
Ismail turut menyarankan agar kawalan kemasukan bagi pakej umrah dilakukan dengan lebih sistematik.
Malah, dia berkata permintaan yang tinggi melebihi penawaran turut memberi kesan agensi menaikkan harga secara melampau.
“Sebab sekarang permintaan nak pergi umrah lebih banyak dari penawaran, jadi ini menaikkan harga pakej umrahlah,” ujarnya lagi
Bagi Rosnah Mat Amin, 60 berpendapat pihak hotel perlu perlu berpandukan harga yang telah ditetapkan dan bukan mengubahnya secara tiba-tiba.
Rosnah turut bercerita pengalamannya sendiri apabila penawaran harga lebih tinggi ditawarkan oleh pakej umrah yang lain, maka pakej umrahnya yang lebih murah terpaksa berpindah ke hotel lain meskipun sudah menempah hotel itu terlebih dahulu.
“Jadi saya syorkan untuk yang mahu pergi umrah, pilih pakej umrah yang memang dari agensi sudah lama dan kukuh,” ujarnya lagi.
Rosnah turut berharap kerajaan Arab Saudi mempertimbangkan balik harga bagi kos umrah kerana rakyat Malaysia antara paling ramai yang pergi ke sana.
“Malah, rakyat Malaysia juga kalau di sana memang benar-benar bagi kerjasama dengan kerajaan Arab Saudi yang tidak menimbulkan apa-apa kekecohan di sana,” ujarnya lagi.
Menurut Suzaimi Aidil Samsudin, 41, yang bakal menunaikan umrah pada 18 Januari nanti pula tidak menafikan harga sememangnya semakin naik.
Meskipun begitu, dia berharap agar pengurangan sedikit harga dapat dibuat supaya tidak membebankan kepada mana-mana rakyat yang memiliki hasrat untuk mengerjakan ibadah di Makkah dan Madinah.
“Kami berharap kerajaan boleh membantu rakyat Malaysia khusus yang mana nak pergi umrah supaya dikurangkan sikit,” ujar Suzaimi.
Dia turut menyebut harga bagi pakej umrahnya yang dibayar pada bulan 12 tahun lalu adalah RM8,400.
Zulkefli Zakaria, 57, yang juga bakal menunaikan umrah pada bulan Feb ini tidak bersetuju kelonjakan harga dibuat secara keterlaluan.
“Saya harap agensi supaya berpatut-patutlah dan tak mengambil kesempatan berlebihan.
"Saya minta kerajaan berunding dengan Arab Saudi agar pertimbanglah jangan ketara sangat, mereka pun tau satu dunia tertumpu ke sana,” ujarnya lagi.
Nur Fadhilah Amin, 25, berkata kenaikan kos umrah sememangnya memberi kelebihan dan kekurangan antara dua pihak.
“Orang yang nak pergi umrah akan rasa susah sebab benda ni akan meningkatkan bayaran mereka.
“Tapi satu kelebihan kepada agensi syarikat itu sendiri sebab mereka pun nak kena perbaiki semula ekonomi sebab sebelum ni tak beroperasi,” ujarnya.
Meskipun begitu, dia berharap pertimbangan dapat dilakukan lagi disebabkan hal ini melibatkan pengerjaan ibadah.
Nora Nordin, 52, turut tidak bersetuju kenaikan melambung tinggi itu menegaskan bukan semua orang yang ingin mengerjakan umrah itu kaya.
“Bagi saya tak setujulah, naik melampau-lampau sangat, mungkin kalau sikit-sikit takpe la kot.
Kos dibayar mesti berbaloi
“Kita faham ekonomi teruk, tapi kena pertimbangkan,“ ujarnya.
Jamilah Jamaluddin, 42, seorang pekerja di kaunter tiket berpendapat agar kos bagi mengerjakan umrah tidak menjadi beban kepada seseorang.
Jamilah berkata harga yang dibayar bagi hotel, penerbangan dan visa harus berbaloi dengan perkhidmatan yang diperoleh di sana.
“Sebab sekarang inipun punca pendapatan rakyat sendiri tak menentu, syarikat-syarikat juga banyak baru nak beroperasi,” ujarnya.
Jamilah turut memberi saranan agar rakyat yang kurang berkemampuan menangguhkan dahulu niat bagi mengerjakan umrah agar tidak menimbulkan sebarang masalah kepada dirinya sendiri.
“Yang mana memang kemampuan tu boleh la pergi, tapi mana yang baru nak meningkatkan pendapatan sebab Covid-19 hari tu mungkin boleh tangguh dulu supaya tak dapat susah apa-apa nanti,” ujarnya.
Pada 10 Jan lalu, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (Papuh), Razali Mohd Sham dilaporkan berkata kenaikan kos umrah dikesan pihaknya sejak banyak negara mula membuka semula sempadan masing-masing selepas sekatan perjalanan Covid-19, sekali gus meningkatkan permintaan jemaah yang mahu mengerjakan umrah.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd Md Daud Che Ngah turut mengesahkan kenaikan kos hotel dan penginapan di Mekah dan Madinah.
Katanya, ia didorong faktor kelembapan ekonomi akibat Covid-19 yang memberi kesan kepada pengusaha hotel di Arab Saudi sehingga ada yang diisytiharkan muflis oleh mahkamah di sana.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai