Skip to main
Logo Malaysiakini

Umno cuba dikhianati dari dalam 'sebelum subuh' lagi, kata Zahid

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini menceritakan bagaimana parti itu didakwanya cuba dikhianati oleh orangnya sendiri ketika kerajaan cuba dibentuk melalui nasihat Yang di-Pertuan Agong.

Kata Ahmad Zahid sebelum itu, Umno berunding secara berasingan dengan dua gabungan lain iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) dengan meletakkan beberapa syarat.

PH, katanya, memberikan jawapan bertulis bagi menyatakan persetujuan kepada syarat Umno, manakala PN hanya memberitahu mereka sedia memberi pertimbangan.

Pada masa sama kata ahli parlimen Bagan Datuk tersebut PN membuat ketetapan menolak cadangan Agong agar kerajaan perpaduan ditubuhkan selepas mereka mendakwa memiliki sokongan majoriti daripada ahli parlimen.

Sepuluh daripada akuan berkanun (SD) tersebut, menurut Ahmad Zahid, datangnya daripada ahli parlimen Umno sendiri dan ia diberikan tanpa merujuk kepada parti.

"Belum pun subuh, pengkhianatan sudah dibuat terhadap parti kita. Lebih menyedihkan ia diatur oleh orang kita sendiri," katanya semasa menyampaikan ucapan dasar presiden di Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun dia tidak menyatakan secara jelas siapakah pihak yang dimaksudkannya menjadi dalang kepada gerakan memberi sokongan kepada PN berkenaan.

Dalam ucapan sama Ahmad Zahid turut memberi bayangan bahawa Umno akan mengambil tindakan ke atas pihak yang terbabit.

Ia adalah selaras dengan gesaan pewakilan sayap parti itu dalam persidangan mereka semalam.

"Tunggu, insya-Allah tidak lama, atas pertujuan para perwakilan yang memberikan mandat kepada lembaga disiplin dan MKT... tidak lama lagi," katanya disambut tepukan para perwakilan.

Ahmad Zahid juga menegaskan 10 ahli parlimen yang memberikan sokongan kepada PN sudah kembali kepada parti sama ada dalam Umno atau BN.

"Mereka telah kembali. Saya telah maafkan, tetapi sukar untuk saya melupakan," katanya.

  • Laporan oleh Haspaizi Zain, Hariz Mohd, Shakira Buang, Ng Xiang Yi dan Low Choon Chyuan