Skip to main
Logo Malaysiakini

Zahid mahu Umno segera tubuhkan majlis ulama

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PAU 2022 | Umno perlu segera menubuhkan majlis ulama sendiri sebagai langkah pembaharuan bagi menghadapi senario politik baru, kata Ahmad Zahid Hamidi.

Bercakap ketika menyampaikan ucapan dasar presiden di perhimpunan agung hari ini, Ahmad Zahid berkata kerjasama antara umara (pemerintah) dan ulama mesti dijalinkan.

"Kita juga perlu mendekati kumpulan-kumpulan ulama yang saya percaya di luar sana bersedia untuk mereka bersama-sama dengan kita.

"Kita mesti terjemahkan usul pembaharuan yang telah kita bincangkan beberapa ketika yang lalu, Majlis Ulama Umno mesti diterjemahkan dengan segera," katanya di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di Kuala Lumpur, hari ini.

Ahmad Zahid berkata ia adalah cadangan tambahan kepada pembaharuan yang perlu dilakukan oleh Umno.

Dalam pada itu Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata audit forensik terhadap perjalanan kerajaan sebelum ini perlu dilaksanakan bagi menyiasat ketirisan yang dipercayai berlaku.

"Punca ketirisan mesti disiasat. Agensi penguatkuasaan mesti mengambil tanggungjawab. Ini adalah harapan rakyat dan menjadi kewajipan kerajaan untuk memastikan harapan ini ditunaikan.

"Perkembangan muktakhir menyaksikan berlakunya penahanan berhubung siasatan penyalahgunaan dana awam melebihi RM90 billion. Ini adalah satu permulaan yang baik.

"Ia adalah isyarat yang jelas akan komitmen kerajaan untuk mengenalpasti mereka yang bertanggungjawab.

"Prihatin atau bersih, sama-sama kita tunggu. Apakah prihatinnya demi rakyat atau demi anak menantu? Bersihnya pula apakah kepada pulangan komisyen yang diperolehi. Sama-sama kita akan nantikan," kata Zahid lagi.

Bagaimanapun kata Ahmad Zahid, Umno tidak mahu mencampuri urusan itu dan menyerahkan sepenuhnya kepada agensi penguatkuasa untuk menjalankan tanggungjawab.