Skip to main
Logo Malaysiakini

Zahid singgung kelompok 'kura-kura' dalam parti

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PAU 2022 | Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumpamakan pihak yang sebelum ini menyalahkan Umno namun muncul kembali selepas parti itu menjadi kerajaan seperti kura-kura.

Bercakap secara berkias dalam ucapan dasar presiden pagi ini ahli parlimen Bagan Datuk itu menjelaskan ketika BN gagal membentuk kerajaan dan sedang berdepan pilihan sama ada PN atau PH, mereka menjauhkan diri.

Kononnya, kata Ahmad Zahid, sebagai mengambil tanggungjawab atas kekalahan Umno-BN dalam PRU ke-15 lalu.

"Tidak kurang juga setelah tewas dalam pemilihan mereka terus menyepikan diri, ibarat kura-kura yang menyorokkan kepala," katanya.

Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri memberitahu pihak terbabit melemparkan pelbagai tuduhan kepada Umno seperti menggelarnya parti korup dan sudah rosak.

Hujah itu, katanya, kemudian digunakan pula oleh pihak lawan untuk mengalahkan Umno.

Ketika pemimpin parti cuba mengembalikan kekuatan Umno semula, tambahnya, "kura-kura" berkenaan muncul dan mengeluarkan kepalanya kembali.

"Boleh juga saya menyebut poster boy…. Poster boy perlu bertanggungjawab sepenuhnya kerana beliau menjadi wajah hadapan parti dalam PRU ke-15," katanya merujuk kepada Ismail Sabri Yaakob.

Ahli parlimen Bera itu merupakan naib presiden Umno yang menjadi perdana menteri sebelum parlimen dibubarkan. Dia dipilih sebagai poster boy Umno-BN dalam PRU lalu bagi menarik sebanyak mungkin sokongan pengundi.

Usaha dibuat sebaik mungkin

Ismail Sabri juga menjadi pertaruhan buat Umno dan BN sebagai calon perdana menteri jika mereka berjaya memenangi PRU ke-15.

Dalam kemelut politik sebelum kerajaan perpaduan dibentuk, Ismail Sabri disebut-sebut memihak untuk bersama PN berbanding PH. Namanya juga dikaitkan dengan beberapa "langkah" yang didakwa cuba menjatuhkan kerajaan.

Bagaimanapun Ismail Sabri menafikan dakwaan berkenaan.

Untuk rekod beberapa tokoh berprofil tinggi dalam Umno juga membayangkan hasrat mereka untuk menyertai pertandingan jawatan peringkat tertinggi parti, termasuk mungkin mencabar Ahmad Zahid.

Antaranya ialah bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin, yang ditukar kawasan pilihan rayanya dari Rembau, Negeri Sembilan, ke Sungai Buloh di Selangor.

Rembau - yang dianggap kawasan selamat buat Umno - ditandingi timbalan presiden parti itu, Mohamad Hasan, manakala Sungai Buloh merupakan kubu kuat PH.

Semasa berkempen di kawasan tersebut, Khairy berkata, dia mahu “membersihkan” Umno dan mengakui ada sesetengah pemimpin yang tidak disenanginya.

"Media janganlah pula lagakan saya dengan presiden tetapi ini kenyataan dan realitinya.

“Saya dan rakan lain mahu kembalikan Umno sebagai wadah Melayu yang mulia, bersih, berubah dan memiliki pemimpin bagus dan mampu diberi kepercayaan seperti suatu ketika dahulu," katanya.

Kata Ahmad Zahid, bagaimanpun isu berkenaan kegagalan kolektif pemimpin parti tidak perlu dipolemikkan bagi membolehkan Umno bergerak ke hadapan.

"Maka dengan sebab itu, jangan kita nafikan usaha-usaha parti dalam menghadapi PRU telah dibuat sebaik mungkin," katanya.

  • Laporan hari ini dikendalikan oleh Haspaizi Zain, Hariz Mohd, Shakira Buang, Ng Xiang Yi dan Low Choon Chyuan