Skip to main
Logo Malaysiakini

'Kalau mereka nak ambil tindakan, ambillah...'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PAU 2022 | Bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein, bersedia dan menyerahkan kedudukannya kepada parti jika dikenakan tindakan ekoran memberikan akuan berkanun (SD) untuk menyokong Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, menjadi perdana menteri ke-10.

Ditemui media selepas berakhirnya ucapan dasar presiden parti itu hari ini, Hishammuddin berkata isu tersebut sudah dijelaskan oleh Ahli Parlimen Jelebu, Jalaluddin Alias, semalam.

"Kalau mereka (parti) nak ambil tindakan, ambillah... tak ada benda yang saya perlu bimbang," katanya.

Hal itu kerana kata Hishammuddin pihaknya konsisten dengan pendirian sebelum ini iaitu langkah bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bercanggah dengan ketetapan parti.

Pada masa sama, jelas ahli parlimen Sembrong itu, dia kemudian menarik balik SD menyokong Muhyiddin selepas diarahkan oleh parti dan bersetuju dengan pendirian yang dibuat.

Justeru, katanya, tidak timbul isu dia mengkhianati Umno.

Pada masa sama Hishammuddin menegaskan, adalah lebih baik jika persidangan yang sedang berlangsung sehingga esok itu digunakan oleh parti untuk membincangkan isu lain.

"Kita sudah kalah dalam PRU, justeru saya harap apa yang kita dapat bincangkan dalam PAU tahun ini ialah hala tuju dan cara bagaimana Umno dapat mengurangkan jurang kepercayaan orang ramai terhadap perjuangannya.

"Perbincangan itu lebih baik daripada hanya mengunakan platfom ini utuk bercakaran dan berbalah sesama kita, tuduh-menuduh sesama kita, serang-menyerang sesama kita.

"Sedarlah... cukup-cukuplah," katanya.

Sebelum itu dia yang pernah dilantik menjadi menteri pertahanan bertaraf kanan dalam kabinet Ismail Sabri Yaakob menyatakan penghargaannya kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi kerana memaafkan 10 ahli parlimen yang memberikan SD kepada Muhyiddin.

Namun katanya sehingga kini dia tidak tahu mengapa mereka dituduh sebagai pengkhianat.

“Saya cukup yakin bahawa apa yang telah berlaku, tak ada benda yang patut kita opologetik sehingga dituduh mengkhianati perjuangan parti,” katanya.

  • Laporan oleh Haspaizi Zain, Hariz Mohd, Shakira Buang, Ng Xiang Yi dan Low Choon Chyuan