Skip to main
Logo Malaysiakini

Tindakan disiplin tak boleh dibuat semberono, kata Khaled

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PAU 2022 | Sebarang tindakan disiplin yang mahu dikenakan terhadap ahli Umno atau parti komponen BN kerana menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri tidak dibuat secara sembrono, kata Mohamed Khaled Nordin.

Sebaliknya, naib presiden Umno itu berkata, ia perlulah melalui proses seperti yang ditetapkan malah berpaksikan keadilan kepada semua individu terbabit.

“Semua itu akan melalui proses, bukannya dilakukan dengan cara semberono dan supaya keadilan diberikan kepada semua,” katanya ringkas kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Agung Umno 2022 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Khaled berkata demikian sebagai mengulas ucapan dasar Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang memberi bayangan bahawa Umno akan mengambil tindakan ke atas pihak yang didakwa cuba mengkhianati parti selepas PRU ke-15 berlangsung Nov tahun lalu.

Ahmad Zahid hari ini menceritakan bagaimana parti itu didakwanya cuba dikhianati oleh orangnya sendiri ketika kerajaan cuba dibentuk melalui nasihat Yang di-Pertuan Agong.

Kata Ahmad Zahid sebelum itu, Umno berunding secara berasingan dengan dua gabungan lain iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) dengan meletakkan beberapa syarat.

PH, katanya, memberikan jawapan bertulis bagi menyatakan persetujuan kepada syarat Umno, manakala PN hanya memberitahu mereka sedia memberi pertimbangan.

Pada masa sama kata ahli parlimen Bagan Datuk tersebut PN membuat ketetapan menolak cadangan Agong agar kerajaan perpaduan ditubuhkan selepas mereka mendakwa memiliki sokongan majoriti daripada ahli parlimen.

Sepuluh daripada akuan berkanun (SD) tersebut, menurut Ahmad Zahid, datangnya daripada ahli parlimen Umno sendiri dan ia diberikan tanpa merujuk kepada parti.

Khaled yang juga menteri pengajian tinggi berkata, amaran presiden kepada semua pemimpin dan ahli Umno juga wajar dalam keadaan parti yang tidak lagi kuat dan kukuh seperti dahulu.

“Paling utama untuk parti adalah mesti ada kesepakatan dan kerjasama,” katanya.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi sebelum ini mendedahkan 10 ahli parlimen BN yang menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri ialah Hishammuddin Hussein (Sembrong), Hasni Mohammad (Simpang Renggam), Wee Ka Siong (Ayer Hitam) dan Jalaludin Alias (Jelebu).

Turut dinamakan M Saravanan (Tapah), Wee Jeck Seng (Tanjung Piai), Mohd Isam Mohd Isa (Tampin), Adnan Abu Hassan (Kuala Pilah), Arthur Joseph Kurup (Pensiangan) dan Abdul Rahman Mohamad (Lipis).

  • Laporan oleh Haspaizi Zain, Hariz Mohd, Shakira Buang, Ng Xiang Yi dan Low Choon Chyuan