Skip to main
Logo Malaysiakini

Tajuddin dakwa dikhianati, tolak digantung parti

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bekas ahli majlis kerja tertinggi (MKT) Umno Tajuddin Abdul Rahman menolak keputusan parti itu menggantung keahlinya selama enam tahun.

Tajuddin berkata pertuduhan terhadapnya tidak disebut dengan jelas, selain parti gagal mengemukakan bukti terhadap tuduhan yang dilemparkan.

Menurut surat yang dihantar Tajuddin kepada Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan, dia mengakui majlis kerja tertinggi (MKT) parti itu mempunyai kuasa menggantung atau memecat seseorang ahli, pertuduhan yang dibuat mengikut fasal 20.9 itu tidak menyebut secara jelas kesalahan yang dibuat.

Ia juga, kata Tajuddin, dibuat Umno tanpa sebarang bukti.

"Saya juga tidak diberi peluang untuk membela diri atas pertuduhan atau kesalahan (sekiranya ada) terhadap saya.

"Saya dengan ini menolak penggantungan keahlian saya dengan hujah-hujah tambahan seperti yang terkandung dalam lampiran," katanya dalam surat itu dan dilihat Malaysiakini hari ini.

Surat bertarikh 12 Jan itu adalah jawaban Tajuddin kepada surat dihantar Ahmad pada 6 Jan lalu berhubung penggantungan keahliannya selama enam tahun.

Pada Okt tahun lalu, Umno memutuskan untuk menggantung keahlian bekas ahli Parlimen Pasir Salak itu selama enam tahun, berkuat kuasa serta merta.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat MKT Umno yang turut mengenakan hukuman sama kepada Ketua Umno Alor Setar, Mohd Yusof Ismail.

Sumber yang dipetik laporan itu berkata, Tajuddin dikenakan tindakan itu atas kritikan terbuka yang dibuatnya kepada Umno.

Dalam pada itu Tajuddin berkata, tuduhan yang dilemparkan terhadapnya adalah berdasarkan fitnah dan tohmahan yang dibuat oleh pihak tertentu.

Katanya, rancangan tersebut digerakkan bagi menjatuhkan dan menafikan peluang dia menjadi calon pilihan raya, didalangi beberapa orang ahli jawatankuasa Umno Pasir Salak serta beberapa pegawai Umno pusat.

"Untuk makluman Datuk Seri saya menerima dengan hati yang terbuka keputusan pucuk pimpinan tidak menamakan saya semula sebagai calon ahli parlimen pada pilihan raya umum lalu.

"Atas dasar cintakan parti dan inginkan ketiga-tiga kerusi Pasir Salak tetap menjadi milik Umno/BN, saya berkempen siang malam sepanjang tempoh kempen tanpa henti.

"Dengan ini, saya ingin memohon kepada MKT supaya memberikan keadilan kepada saya serta menarik balik penggantungan tersebut dengan seberapa segera," katanya lagi.