Skip to main
Logo Malaysiakini

BN bakal kemuka 'beberapa' petisyen pilihan raya

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PAU 2022 | BN akan mengemukakan petisyen pilihan raya di beberapa kerusi yang parti itu tewas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu, kata Zambry Abdul Kadir.

Menurut Setiausaha Agung BN berkenaan, mereka mempunyai asas untuk berbuat demikian di beberapa kerusi, termasuk yang dimenangi Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun dia tidak memberikan butiran lanjut mengenai kawasan yang terlibat.

"Ya, kita akan umumkan nanti, memang ada beberapa kawasan yang akan kita failkan, nanti kita umumkan.

"Ada asas-asas (untuk berbuat demikian). Bila kita failkan tentunya ada asas-asas untuk kita failkan," katanya ketika ditemui media di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum ini calon BN untuk kawasan Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, mengemukakan petisyen bagi mencabar keputusan PRU ke-15 lalu.

Wakil Tengku Razaleigh memfailkan petisyen berkenaan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 3 Jan lalu.

Dalam petisyen itu, Mohd Azmi menerusi barisan peguam, Muhammad Shafee Md Abdullah, Mohd Hafarizam Harun, Abu Bakar Isa Ramat, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff, Norhazira Abu Haiyan dan Muhammad Amin Othman menamakan tiga responden iaitu Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim, Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ab Patah Hasbullah dan Suruhanjaya Pilihan Raya.

Petisyen berkenaan meminta supaya keputusan bagi parlimen Gua Musang dibatalkan dan menggesa pilihan raya kecil diadakan bagi kawasan terbabit.

Dalam PRU yang berlangsung pada 19 Nov tahun lalu, Tengku Razaleigh kalah buat pertama kali sejak 1974.

Zambry berkata jumlah kerusi yang akan difailkan petisyen oleh BN nanti bakal diumumkan jawatankuasa telah dibentuk kemudian.

"Jawatankuasa berkenaan akan umumkan nanti, sebab kita dah kenal pasti beberapa tempat dan secara tepatnya nanti kita akan umumkan," katanya.

Ditanya mengenai pengisytiharan harta bagi pemimpin Umno yang menganggotai kabinet, Zambry berkata mereka akan berbuat demikian apabila diminta.

"Kita laksanakanlah apabila dikehendaki begitu," katanya lagi.

  • Laporan oleh Haspaizi Zain, Hariz Mohd, Shakira Buang, Ng Xiang Yi dan Low Choon Chyuan