Skip to main
Logo Malaysiakini

Warisan akan terus sokong Anwar

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Warisan akan terus menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim walaupun dia didakwa gagal memujuk parti-parti di Sabah untuk membentuk kerajaan perpaduan.

Dalam temu bual dengan Malaysiakini di Kota Kinabalu semalam, Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal menjelaskan bahawa Warisan sudahpun komited dengan kerajaan perpaduan di peringkat nasional.

"Kami di sana dengan kerajaan perpaduan. Jangan risau. Ia penting untuk negara, untuk rakyat. Kami sudah mengikrarkan sokongan kami," kata Shafie.

Jumaat lalu, kedudukan Hajiji Noor sebagai ketua menteri kelihatan goyah selepas BN Sabah menarik balik sokongan.

Anwar terbang ke Negeri Di Bawah Bayu itu pada Isnin (9 Jan) untuk mencadangkan kerajaan perpaduan, kerana dia mendapat sokongan hampir semua parti utama di Sabah.

Menurut Shafie, Anwar bertemu wakil parti secara individu dan dengan persefahaman akan mewujudkan kerajaan perpaduan dan jawatankuasa untuk mengusahakan butiran itu akan segera dibentuk.

Tempoh bertenang tak dipatuhi?

Sebaik sahaja Anwar meninggalkan Kota Kinabalu, Shafie mendakwa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji serta-merta cuba menarik sokongan Adun supaya berpaling tadah pada waktu pagi Selasa.

“Kami sepatutnya mempunyai tempoh bertenang dan membentuk jawatankuasa... Tetapi pada pukul 1 pagi dan 2 pagi (selepas Anwar pergi) mereka masih memanggil orang (kami), mahu membeli mereka.

“Peter Anthony (Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat [KDM] presiden) menelefon saya dan menyebut hal yang sama,” kata Shafie.

Tidak lama selepas bertemu Anwar, BN Sabah dan Warisan mengeluarkan kenyataan berasingan yang menyokong cadangan kerajaan perpaduan itu tetapi sudah terlambat.

Semasa persidangan Dewan Undangan Negeri pada Selasa (10 Jan), Hajiji menyuruh Bung dikeluarkan dari bangku Adun kerajaan dan berpindah ke bangku pembangkang.

Keesokan harinya, Hajiji turut memecat Bung Moktar dan dua lagi Adun BN daripada kabinet negeri, mengakhiri sebarang kemungkinan pembentukan kerajaan perpaduan, sekurang-kurangnya buat masa ini.

Hajiji tidak suka Bung

Shafie mendakwa wujud perselisihan antara Hajiji dan Bung Moktar sejak sekian lama, yang mungkin menyumbang kepada penarikan sokongan pada minggu lalu.

"Hajiji (pernah) datang jumpa saya. Dia kata dia nak kerja sama dengan saya sebab nak buang Bung Moktar. Boleh tanya dia. Saya ada saksi.

"Bagaimanapun, saya tidak mahu melayan permintaan seperti itu. Saya katakan tidak kerana beliau (ketika itu) bersama (pemimpin Perikatan Nasional) Muhyiddin (Yassin) kerana (Muhyiddin adalah perdana menteri) tanpa mandat.

“Hajiji (berkata demikian) ketika dia datang ke rumah saya,” kata Shafie.

Bagaimanapun, Shafie menegaskan dia tidak mempunyai pengetahuan awal mengenai hasrat BN Sabah untuk menarik balik sokongan kepada Hajiji pada Jumaat lalu (6 Jan).

“Saya cuma tahu ada masalah antara mereka berdua kerana Hajiji kata sangat sukar bekerja dengan Bung Moktar.

"Saya tidak mahu tahu butirannya," katanya.

Ketika ditanya sekiranya betul dua Adun PH menyertai kabinet Hajiji walaupun kerajaan perpaduan gagal direalisasikan, Shafie berkata soalan itu harus diajukan kepada kedua-dua mereka.

"Saya tidak boleh bercakap bagi pihak mereka. Mereka harus bertanya kepada diri sendiri sama ada mereka perlu mengikut ketua mereka (Anwar) atau perlu mengikut kehendak mereka sendiri untuk menjadi menteri.

"Patutkah mereka makan aiskrim? Kalau haus, sudah tentu mereka akan makan aiskrim. Namun, sama ada aiskrim sesuai atau tidak, sama ada ia dibayar atau tidak, itu perkara lain," katanya berkias.

[Baca berita asal]