Skip to main
Logo Malaysiakini

Usul tolak pertandingan jawatan presiden, timbalan kena ejek

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PAU 2022 | Perwakilan Negeri Sembilan hari ini mengemukakan usul supaya jawatan presiden dan timbalan presiden Umno tidak dipertandingkan pada pemilihan parti yang akan diadakan tidak lama lagi.

Mohd Shukei Samsudin dari Rembau mengemukakan usul tambahan berkenaan ketika berucap bagi membahaskan ucapan dasar presiden petang tadi.

Bagaimanapun cadangan berkenaan mendapat reaksi berbeza perwakilan yang hadir.

Ketika ada segelintir perwakilan dikatakan kurang senang dengan usul berkenaan, sebahagian besar perwakilan yang lain pula bangun menyokong usul terbabit.

Usul yang dibawa perwakilan Mohd Shukei itu disokong perwakilan Wanita Umno, Suziyana Mahayuddin di sebaik ada sorakan daripada kumpulan yang tidak bersetuju.

Perwakilan Umno yang ditemui Malaysiakini memaklumkan secara umumnya tindakan "boo" oleh perwakilan ketika pembentangan usul berkenaan tidak begitu ketara.

Perwakilan Tanjong Piai, Mohd Hafif Abdul Kamal, berkata pada awalnya memang ada sedikit protes daripada sebahagian kecil perwakilan, namun tidak begitu menonjol.

Mohd Hafif Abdul Kamal

"Biasalah... itu tindak balas spontan, memang ada. Majoriti nampak setuju (dua jawatan utama) tak dipertandingkan. Tunggu esok. Sekarang sedang dibahaskan.

"Saya sendiri tak setuju (pemilihan) sebab Umno sedang lemah, kalau dipertandingkan akan berpecah biar setakat ini kita bertaut. Selepas ini tengok macam mana.

"Kalau dah kuat baru boleh buat (pemilihan), sekarang tak sesuai," katanya ketika ditemui.

Baru masuk kabinet

Perwakilan dari Tanjong, Pulau Pinang, Fahami Ashrof Badaruddin, berkata sepanjang penubuhan Umno hanya empat kali jawatan utama parti itu dipertandingkan.

Katanya, pemilihan hanya diadakan ketika Umno berada dalam kuat dan tiada perpecahan ketara seperti berlaku ketika ini.

"Jika dipertandingkan (juga) akan berlaku perpecahan dalam kalangan pemimpin, [...] pastikan barisan terbentuk itu barisan kuat untuk hadapi siri pilihan raya akan datang dan perkuat kembali parti Umno," katanya.

Fahami Ashrof Badaruddin

Ditanya sama ada perwakilan disorak pihak yang tidak senang ketika membahaskan usul, berkenaan Fahami berkata hanya sebilangan kecil dan tidak jelas.

Sementara itu, Setiausaha Puteri Umno Seremban, Suzalinawati Osman, mendakwa perwakilan menyokong supaya dua jawatan berkenaan tidak pertandingkan.

"Setakat ini semua perwakilan menyokong kerana kita kena beri peluang kepada presiden dan timbalan presiden.

"Sebelum ini mereka tidak diberikan ruang sebab baru saja dilantik menyertai kabinet.

"Memang kebanyakan perwakilan menyokong, jika ada perwakilan yang tak bersetuju itu biasa. Tapi Puteri menyokong sepenuhnya," katanya kepada Malaysiakini.

Isham Jalil

Sementara itu Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil, yang ditemui selepas tamat sesi perbahasan usul untuk hari ini memaklumkan, cadangan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan belum muktamad.

Katanya sama ada usul berkenaan diterima ataupun tidak hanya akan ditentukan esok.

Tambahnya perwakilan bebas untuk mengemukakan apa saja usul dan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, telah menjelaskan yang dia menyerahkan sepenuhnya hal tersebut kepada perwakilan untuk membuat ketentuan.

""Kami tak tahan siapa-siapa, kami juga tak halang mana-mana (pihak yang) ada usul.

"Secara rasminya belum habis (dimuktmadkan) lagi. Sesiapa nak bawa usul, terserah kepada mereka.

"Presiden juga sudah beri kenyataan yang Umno tak buat keputusan (peringkat) majlis kerja tertinggi tetapi serahkan kepada perwakilan.

"Hari ini ada negeri bawa usul dan kita serah pada perwakilan (untuk buat keputusan)," katanya.

  • Laporan oleh Haspaizi Zain, Hariz Mohd, Shakira Buang, Ng Xiang Yi dan Low Choon Chyuan