Skip to main
Logo Malaysiakini

Sokong penuh Zahid tapi keputusan usul masih dinanti - perwakilan Umno

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Perwakilan Umno tetap menyokong Ahmad Zahid Hamidi sebagai nakhoda parti itu tetapi masih belum ada keputusan sama ada jawatan presiden akan dipertandingan atau tidak.

Setiausaha Umno Bahagian Jerantut, Mohd Zukarmi Abu Bakar berkata pengukuhan kedudukan Zahid selaku presiden adalah ditentukan sama ada usul yang dibawa perwakilan Negeri Sembilan pada perhimpunan agung parti semalam di terima atau tidak.

“Kita tunggulah usul tu diluluskan atau tidak,” katanya.

Mohd Shukei Samsudin dari Rembau pula mengemukakan usul tambahan berkenaan ketika berucap bagi membahaskan ucapan dasar presiden.

Bagaimanapun, perwakilan Umno Bahagian Kota Tinggi, Ramli Tarati (gambar, atas) pula berpendapat usul tersebut sebenarnya tidak perlu dibuat.

Ramli berkata usul itu boleh menimbulkan spekulasi dan syak wasangka kepada Umno.

“Kita tak nak tohmahan menyatakan Zahid takutlah, tapi tadi perwakilan minta, jadi saya tak boleh nak cakap apa lah,” ujarnya.

Ramli berkata meskipun tanpa usul dibuat, dia dan rakan-rakannya dari perwakilan lain tetap akan menyokong Zahid sebagai presiden.

“Macam saya, ikhlas saya cakap, kalau dia (Zahid) bertanding lagipun, saya dan perwakilan lain tetap sokong.

"Jadi saya fikir sebaik-baiknya pemilihan terbuka," ujarnya.

Sementara itu, perwakilan Umno Bahagian Kubang Kerian, Mohd Azlieham (gambar, bawah) berkata usul akar umbi yang dibentangkan tadi mendapat sokongan ramai.

“Saya fikir tadi usul yang dikemukan untuk jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan mendapat sambutan oleh perwakilan-perwakilan semua.

“Sekiranya usul ini diluluskan esok, maknanya tiada pertandingan dan presiden akan kekallah,” ujarnya.

Perwakilan Umno Bahagian Kuala Langat, Abdul Razak Hasbullah (gambar, bawah) berkata pengekalan Zahid bergantung kepada pimpinan peringkat akar umbi.

“Pimpinan peringkat akar umbi kena sokonglah, apa-apa pembaharuan yang Zahid nak buat, tak jadi apa kalau tak di sambut peringkat akar umbi.

“Siapa pun presiden kita kena bagi komitmen,” katanya memandangkan belum ada keputusan usul tidak mempertandingkan jawatan presiden parti itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Ketua Umno Bahagian Sungai Buloh, Herrisson Hassan berkata pengekalan Zahid sebagai presiden adalah hal yang susah untuk dijangka.

“Apa-apa bentuk pemilihan parti harus dinilai dan dipilih oleh akar umbi.

“Dalam parti Umno ni setiap kali pemilihan terdapat 160,000 perwakilan yang mempunyai hak untuk memilih, jadi saya susah nak cakap kecuali pemilihan dilakukan barulah saya tahu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Wanita Umno Bahagian Kuala Kangsar, Rohayu Abd Razak (gambar, bawah) beranggapan bahawa Zahid akan kekal menerajui parti itu.

“Dalam keadaan sekarang Umno lebih ke arah pemulihan parti berbanding fikir pertandingan-pertandingan itu semua.

“Kita kena bersihkan semula Umno supaya orang muda berminat,” ujarnya.

Perwakilan Negeri Sembilan ketika mengemukakan mengemukakan usul supaya jawatan presiden dan timbalan presiden Umno tidak dipertandingkan pada pemilihan parti yang akan diadakan tidak lama lagi.

Mohd Shukei Samsudin dari Rembau mengemukakan usul tambahan berkenaan ketika berucap bagi membahaskan ucapan dasar presiden petang tadi.

Bagaimanapun cadangan berkenaan mendapat reaksi berbeza perwakilan yang hadir.