Skip to main
Logo Malaysiakini

PULASAN | Menanti Zahid keluar dari bayang-bayang orang

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PULASAN | Sesetengah daripada kita mungkin masih ingat bagaimana rangginya Ahmad Zahid Hamidi sebagai seorang anak muda yang mengetuai sayap parti Umno suatu ketika dulu.

Dia menjadi ketua ribuan ahli sayap parti yang berdarah muda serta mudah mendidih. Atau sekurang-kurangnya begitulah sepatutnya. Dia membentak dan menyanggah presidennya sendiri ketika Umno - dan rantau ini - berdepan dengan gejolak isu KKN (korupsi, kolusi/kronisme dan nepotisme).

Ia adalah detik panas politik negara dengan akhirnya Anwar Ibrahim - yang dilihat hanya selangkah saja lagi menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri - terpelanting jauh dari kuasa.

Ahmad Zahid kemudian ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dibimbangi ramai. Tidaklah lama, tetapi memadailah untuk dia diingat sebagai salah seorang mangsa tahanan tanpa bicara ISA tersebut.

Dalam konteks negara ini, kebanyakan orang yang pernah ditahan mengikut ISA dianggap sebagai wira.

Puluhan tahun silam, sosok pemuda bernama Ahmad Zahid yang mendidih dengan darah muda itu masih berkumis hitam. Dia juga dikenali sebagai tokoh perbankan apabila diberi kepercayaan menjadi pengerusi Bank Simpanan Nasional (BSN).

Semasa itu jugalah imej BSN begitu harum mewangi dan mekar pada pandangan orang ramai.

Dibayangi oleh orang lain

Kemudian langkah politik Ahmad Zahid terus kelihatan sangat menjanjikan. Ketika Anwar masih bergelut dengan isu mahkamah dan penjara bertahun-tahun kemudian, sebelah kaki Ahmad Zahid sudah berada di Seri Perdana.

Tiba-tiba datanglah pilihan raya umum yang bersejarah itu. Ia merupakan detik getir buat Umno tetapi sangat manis buat Pakatan Harapan (PH). Buat pertama kali Umno kecundang dan buat pertama kali juga pembangkang berjaya menjadi kerajaan pusat.

Sudah tentu PH menjadi kerajaan melalui kemenangan pilihan raya. Ia bukanlah sejarah sangat dari aspek itu kerana memang begitulah: pihak yang menang menjadi kerajaan melalui pilihan raya.

Sejarah parti menjadi kerajaan di luar pilihan raya hanya berlaku pada tempoh akhir Feb hingga awal Mac 2020. Ia adalah sejarah tersendiri yang memerlukan penulisan lain untuk dipulas.

Selebihnya adalah pelbagai perkembangan dan sepak terajang politik yang biasa di negara ini - memualkan.

Namun dalam semuanya menyaksikan tokoh bernama Ahmad Zahid itu agak sedikit 'malang'.

Bermula sebagai tokoh pemuda yang ranggi, entah mengapa dia ditakdirkan selalu berada di bawah bayang-bayang orang lain. Bukan Ahmad Zahid tidak berkaliber, cuma orang lain yang di sebelahnya itu nampak lebih kaliber.

Misalnya dia menjadi timbalan perdana menteri semasa Najib menjadi perdana menteri. Sudah tentu kaliber Najib itu terlalu menyinar berbanding Ahmad Zahid.

Jika tidak, maka tidaklah ahli Umno - termasuk Ahmad Zahid sendiri - asyik menyebut nama Najib saja sehingga sekarang, hatta ketika Umno bersidang di tengah Kuala Lumpur.

Tumpang 'ambil berkat'

Ya, Ahmad Zahid dan Najib itu dikhabarkan menjadi teman yang akrab. Fitrah bersahabat, begitulah - kalau sakit, sama-sama sakit; kalau seronok, sama-sama seronok; susah hati, sama-sama bersusah hati.

Namun Ahmad Zahid sepatutnya boleh menyinar dengan lebih ketika Najib bukan lagi presiden Umno dan perdana menteri. Sepatutnya pada ketika itu tokoh politik dari Bagan Datuk berkenaan boleh keluar dari bayang-bayang anak Pahang terbabit.

Tetapi Ahmad Zahid tidak. Entah mengapa, mungkin sengaja, boleh jadi enggan, dan mungkin juga tidak berjaya.

Selepas Najib mendekam di penjara, Ahmad Zahid masih tidak banyak berbeza kedudukannya walaupun ruang yang ada di depannya lebih luas terbuka.

Nama dan kisah Najib tetap meniti di bibir Ahmad Zahid.

Kita boleh faham jika Najib disebut-sebut oleh Nooryana Najwa, Rosmah Mansor, atau sesiapa saja daripada kalangan keluarga berkenaan. Kalau Puteri Umno pun mahu menumpang sekaki, kita masih boleh terima dan faham.

Andainya ada perwakilan yang juga mahu 'mengambil berkat' atas nama Najib, juga masih boleh diterima. Sama ada ia suatu langkah yang tulus atau digerakkan dengan perancangan tertentu, ia adalah isu lain.

Tetapi Ahmad Zahid?

Memang dia ada dilihat cuba mencipta citra yang tersendiri, tetapi pada masa sama timbalan perdana menteri itu agak bergelut untuk menjayakannya.

Dia seolah-olah masih mahu berteduh di bawah bayang-bayang Najib.

Kini Ahmad Zahid sekali lagi menjadi timbalan perdana menteri. Di atasnya bukan lagi Najib tetapi Anwar Ibrahim. Dari satu sisi, ia adalah gabungan yang hampir sempurna kerana mempertemukan seorang mentor dengan mentinya.

Ia seakan-akan pertautan kasih yang terlerai selepas tertangguh sekian lama.

Namun dari aspek pembinaan imej, sudah tentu Ahmad Zahid berdepan jalan yang lebih sukar. Jika di tepi Najib pun dia kelihatan kurang menyinar, apa lagi di bawah bayang-bayang Anwar.

Dalam keadaan begitulah Ahmad Zahid perlu muncul dengan lebih gagah dan tangkas, khususnya di Dewan Merdeka pada hari ini. Memberitahu bahawa dia sedia dicabar berkali-kali belum memadai untuk menaikkan imejnya secara keseluruhan.

Lawan dan rintangan sentiasa ada di depannya. Ia tidak akan hilang hanya dengan menadah tangan dan berdoa semata-mata, misalnya.

Memperbaiki kemahiran berucap dan mengurangkan bermain bahasa secara lewah adalah langkah yang baik, tetapi ia masih belum mencukupi. Usah juga terbawa-bawa cara bersyarah yang mengingatkan orang kepada Anwar.

Cara itu tidak menjamin apa-apa kerana tidak semua orang politik yang terbawa-bawa cara Anwar bersyarah akhirnya berjaya. Yang 'hanyut' pun boleh tahan juga ramainya.

Ahmad Zahid perlu bertindak dengan lebih mantap dan meyakinkan di dalam partinya. Seperti kata sesetengah orang: perjuangan adalah pelaksanaan kata-kata.

Jika tidak, alamat ketiban malanglah akhirnya.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang selalu mengagumi daerah Bagan Datuk yang permai dan menjanjikan.

Tulisan ini tidak mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.