Skip to main
Logo Malaysiakini

Mungkin Umno dah jadi parti asal boleh saja, kata wakil Johor

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PAU 2022 | Cadangan agar Umno mengecualikan pertandingan untuk dua jawatan tertinggi parti nampaknya tidak mendapat sambutan yang baik dari Johor hari ini.

Perwakilan negeri itu yang berbahas malah membangkitkan persoalan selama mana Umno mahu "menunggang" isu perpaduan dan kestabilan parti untuk menjustifikasikan cadangan tersebut.

Perwakilan Johor, Pandak Ahmad, berkata jika hujah mahukan kestabilan parti menjadi alasan, sepatutnya jawatan lain juga disaran agar tidak dipertandingkan.

"Bawalah usul tambahan untuk tidk mempertandingkan jawatan-jawatan parti di bahagian-bahagian dan cawangan.

“Tak perlu kelulusan dan persetujuan majlis kerja tertinggi dan due process yang sepatutnya," kata Pandak.

Teks ucapan timbalan ketua Umno Iskandar Puteri itu diedarkan oleh sekretatiat media parti itu pada pagi ini.

Dia juga berasa "pelik" apabila usul berkenaan - yang dibawa perwakilan Negeri Sembilan semalam - boleh diterima dan dibahaskan oleh persidangan.

Kata Pandak usul berkenaan dilihat tidak sempurna dan tidak boleh diteruskan kerana bercanggah dengan Fasal 30 Perlembagaan Umno dan perkara 10 peraturan persidangan.

"Mungkin Umno sekarang dah jadi parti 'asal boleh' saja agaknya," tambah Pandak lagi.

Dalam ucapan sama Pandak juga menggesa agar Umno negeri diberi kuasa untuk memilih pengerusi dan timbalan pengerusi badan perhubungan, bukannya presiden parti.

Langkah itu, kata Pandak, membolehkan badan perhubungan Umno negeri lebih signifikan, sekali gus menjadi pembaharuan yang dapat mengukuhkan kembali Umno di negara ini.

"Badan-badan perhubungan Umno negeri wajar diberikan autoriti yang kebih bermakna.

"Sebagai contoh, pemilihan pengerusi dan timbalan pengerusi mestilah dipilih dalam kalangan barisan jawatankuasa perhubungan negeri, bukannya dilantik oleh presiden," katanya.

Perwakilan wilayah persekutuan tak sokong

Turut sama tidak menyokong usul mengecualikan pertandingan untuk dua jawatan tertinggi parti yang dibawa Negeri Sembilan semalam ialah perwakilan Wilayah Persekutuan, Zainal Abidin Mohd Rafique.

Zainal ketika berbahas juga menyatakan kebimbangannya bahawa pengundi di luar parti akan menilai parti itu dari perspektif yang negatif susulan langkah itu.

"Isu ini jika tidak diberikan perhatian yang serius mungkin akan memberi kesan bukan sahaja kepada parti malah kepada 60 peratus pengundi Melayu di luar sana yang sedang memerhati gelagat kita.

"Umno pada dasarnya adalah sebuah parti politik yang bersifat rasional dan terbuka. Sesiapa saja yang dipilih sebagai presiden dan timbalan presiden nanti pastinya akan mendapat sokongan jitu dari ahli-ahli parti pada akhirnya.

"Sekiranya jawatan-jawatan ini tidak dipertandingkan, saya bimbang pengundi di luar parti akan menilai parti kita dari perspektif yang negatif," katanya.

Mengakhiri perbahasannya, Zainal berkata Umno Wilayah tidak menyokong usul terbabit.

"Umno Wilayah mohon menyokong, kecuali usul tambahan yang dibuat secara mengejut semalam, iaitu usul supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan," tegasnya.

Laporan oleh Shakira Buang, Haspaizi Zain, Hariz Mohd dan Low Choon Chyuan.