Skip to main
Logo Malaysiakini

'Tangkap gajah itu atau kami pasang perangkap kasi mati'

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Penduduk kampung Orang Asli di Pahang yang kini hidup dalam ketakutan akibat amukan dan serangan gajah mungkin terpaksa memasang perangkap untuk melindungi diri mereka, jika pihak berkuasa tidak bertindak pantas.

Ketua Kampung Tual, Yok Ek Cantan, berkata wakil Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah melawat kampung itu selepas seorang remaja lelaki berusia 15 tahun meninggal dunia akibat dipijak gajah pada Isnin lalu.

Namun katanya jabatan berkenaan masih belum mengambil tindakan konkrit.

"Orang Perhilitan datang duduk rumah saya. Bila kita kata ada tanda (gajah) di kebun, dia kata jangan pergi, esok kita tengok. Esok gajah dah ke tempat lain.

"Kalau betul-betul nak tangkap, kenapa tak duduk dalam hutan?" katanya.

Katanya, gajah berkenaan mengganggu kampung itu dan kampung-kampung lain dalam tempoh beberapa bulan lalu. Dipercayai gajah sama yang menyebabkan kematian seorang wanita di Kampung Simoi pada Disember lalu.

Kampung Simoi, yang terletak dalam Hutan Simpan Ulu Jelai dihubungkan dengan Pos Sinderut melalui hutan tebal.

Kampung Tual terletak di Pos Sinderut, kira-kira 70km dari Raub.

Penduduk kampung yang berasal dari suku Semai berkata, jejak gajah itu dikesan di kebun mereka dan pondok berhampiran di situ musnah sebelum diserang haiwan berkenaan.

Beberapa hari lalu, seorang penduduk kampung melihat jejak haiwan tersebut di kawasan berhampiran sekali lagi.

"Saya memang takut. Kalau benda kecil saya tak takut. Nak ke kebun takut, nak ambil durian kena 4 hingga 5 orang bekerja.

"Sini langsung tak ada senapang. Hanya sumpit. Belantik boleh buat sendiri kalau nak kasi mati.

"Saya rasa kalau tak dapat tangkap, tak jaga, saya cakap terus terang, saya kena ambil tindakan bagi mati (gajah terbabit) dengan buat belantik (perangkap)," katanya.

Dia berkata serangan gajah itu menyebabkan penduduk kampung terpaksa berkurung dan takut untuk keluar rumah. Lebih-lebih lagi kampung itu jauh di pedalaman tanpa talian telefon ketika kecemasan.

Terdapat kurang daripada 1,600 Gajah Asia yang berada di hutan di Semenanjung Malaysia, dengan jumlah konflik manusia-gajah semakin meningkat berikutan pencerobohan di kawasan habitat haiwan tersebut.

Hilang mata pencarian

Yok Ek berkata isu itu menjejaskan pendapatan penduduk kampung yang bertahan hidup dengan menjual hasil daripada kebun dan hutan.

“Dalam masa krisis seperti ini, kami harap pihak berkuasa juga dapat berikan bantuan makanan kepada kami,” katanya.

Baru-baru ini dilaporkan remaja lelaki, Andy Yok Manin, meninggal dunia akibat dipijak gajah ketika mencari petai bersama abang dan jirannya.

Menurut abangnya Borhan, mereka melarikan diri apabila terserempak gajah yang keluar dari arah semak, namun Andy terjatuh dan dia dipijak serta ditikam dengan gading haiwan terbabit.

Borhan, 23, yang tidak dapat tidur semalaman selepas kejadian itu berkata, dia mendengar adiknya menangis tetapi segalanya sudah terlambat.

Mereka hanya boleh mendekati Andy kira-kira sejam kemudian dan ketika itu pelajar tingkatan tiga itu sudah tidak bermaya.

Saudara mereka, Faizul Yok Tong, 22, yang ketika itu bersama mereka, memanjat pokok untuk melarikan diri dari gajah itu dan terperangkap di situ selama lebih sejam kerana ketakutan.

Pertama kali gajah masuk kampung

Ini adalah kali pertama seekor gajah dikesan di Kampung Tual yang menempatkan sebanyak 280 keluarga.

Pos Sinderut mempunyai 21 buah kampung secara keseluruhan dengan penduduk kampung kini hidup dalam ketakutan.

Jumaat lalu, pegawai Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Noor melawat Kampung Tual untuk mengucapkan takziah dan memberi taklimat kepada penduduk kampung mengenai cara mengetahui keberadaan gajah berkenaan dan apa yang perlu dilakukan mereka jika terserempak haiwan itu.

Pejabat ahli parlimen itu berusaha mengadakan pertemuan dengan Kementerian Sumber Asli bagi membincangkan usaha mengurangkan konflik manusia-gajah di seluruh negara.

Penduduk kampung menghargai usaha mengadakan taklimat keselamatan itu dan memberitahu Malaysiakini mereka tidak pernah bertembung gajah liar seumur hidup mereka, walaupun tinggal di kawasan hutan simpan.

Pembersihan hutan

Ketua Kampung Tual Yok Ek, yang keluarganya tinggal di situ selama lima generasi, berkata gajah terbabit mula muncul di Simoi, sebuah penempatan Orang Asli yang dihubungkan dengan Sinderut melalui hutan, sekitar 2018.

Ketika itu Hutan Simpan Hulu Jelai telah mula mengalami pembersihan secara besar-besaran, katanya.

"Bukit dah botak (akibat pembalakan). Dia (gajah) nak cari makanan," katanya.

Dalam tempoh beberapa bulan lalu, sekurang-kurangnya empat insiden serangan gajah berlaku di kampung itu, dengan dua orang meninggal dunia termasuk seorang seorang wanita yang diserang haiwan berkenaan di Simoi pada Disember lalu.

Satu lagi kejadian serangan gajah melibatkan kerosakan harta benda penduduk kampung.

Katanya dia telah menghubungi tok batin lain termasuk di luar Sinderut dan mendapati gajah itu berpindah dari kampung ke kampung lain setiap beberapa hari.

"Harap buatlah sesuatu. Ini (Pegawai perhilitan) datang dua hari tak meronda tak apa, tak taulah.

"Kalau datang kata "Batin, ini saya bawa senapang. Saya harap awak betul-betul ronda, saya ikut. Boleh," katanya.