Skip to main
Logo Malaysiakini

Jangan salahkan orang lain bila Umno hilang sokongan Melayu - Saifuddin

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Umno sepatutnya tidak boleh menyalahkan orang lain apabila parti itu semakin kehilangan sokongan orang Melayu, kata ahli majlis pimpinan tertinggi Bersatu, Saifuddin Abdullah.

Sambil menyifatkan Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang sedang berlangsung ketika ini sebagai 'kelam-kabut', Saifuddin turut berpendapat ucapan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan ketika merasmikan perhimpunan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno pada Rabu lalu sebagai memalukan.

"Saya lihat PAU kali ini agak kelam kabut, ia bermula dengan menuduh 10 orang ahli parlimen (Umno) sebagai pengkhianat, tetapi tidak pula disoal mengapa sebelum PRU15 (pilihan raya umum ke-15) ada perjanjian sulit antara Datuk Seri Najib (Razak), Datuk Seri Zahid Hamidi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya fikir itu persoalan yang perlu dijawab.

"Dan saya rasa ahli Umno tentu terkilan dengan kenyataan Timbalan Presiden Umno (Mohamad Hasan) yang mengatakan sekian lama Umno berjuang, tetapi sokongan orang Melayu semakin berkurangan.

"Sebenarnya sokongan orang Melayu semakin berkurangan bukan sebab orang lain dan tak ada kena mengena dengan DAP. Itu adalah kerana kelemahan Umno sendiri, amat memalukanlah apabila timbalan presiden Umno merasa dah tak boleh berjuang untuk orang Melayu," katanya dalam sidang media di Kuantan, hari ini.

Mohamad dalam ucapannya Rabu lalu berkata, kehilangan undi Melayu dan tiadanya undi bukan Melayu adalah ‘resipi’ kematian Umno.

Katanya, dengan pendirian yang diambil Umno dalam menyokong penubuhan kerajaan perpaduan mungkin membuka ruang untuk masyarakat bukan Melayu membina semula keyakinan kepada Umno.

"Sokongan masyarakat bukan Melayu merosot dengan amat drastik semenjak beberapa Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.

"Sehingga dalam keadaan tertentu, kita tewas, kerana tidak mampu mendapat walau lima peratus sokongan daripada mereka," kata Mohamad lagi.

Saifuddin yang juga ahli parlimen Indera Mahkota bagaimanapun enggan mengulas lanjut berkaitan hal dalaman Umno kerana dia bukan ahli parti berkenaan.

Dia turut menegaskan situasi yang berlaku dalam Umno sebagai kritikal dan masalah sama boleh berlaku kepada Bersatu jika pimpinan parti terbabit tidak mengambil iktibar.

"Kami melihat apa yang berlaku di WTC dengan kritikal, sebab apa yang berlaku dalam Umno (sekarang) kalau kami tak jaga pun boleh berlaku frkat kami juga, jadi kami bukan bersorak dengan apa yang berlaku di WTC ketika ini," katanya lagi.

Ketika ditanya mengenai pergolakan politik di Sabah baru-baru ini, Saifuddin berkata ia membuktikan pihak berkenaan masih belum dapat menerima keputusan PRU15.

"Kami dah reda jadi pembangkang, kami nak lihat ketenangan politik wujud, tapi apa yang berlaku di Sabah, siapa yang belum move on?

"Nampaknya orang yang selama ini kata move on (tapi) dia tak 'move on'. Kami dah move on, kami dah declare kami ini pembangkang," katanya.