Lembaga Disiplin Umno akan teliti dakwaan KJ, kata Zahid
PAU 2022 | Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, berkata lembaga disiplin akan membincangkan dakwaan yang dibuat bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin yang mengaitkan parti itu dengan pengundi hantu menjelang undian usul petang tadi.
Bercakap kepada media di akhir persidangan agung Umno di Kuala Lumpur hari ini, kata Ahmad Zahid, dakwaan Khairy adalah tidak berasas kerana pihak pengurusan memastikan hanya individu yang memiliki pas dibenarkan memasuki Dewan Merdeka.
“Mana boleh masuk kalau tidak ada kad ini,” sambil menunjukkan kad pas yang dipakainya.
Menurut Ahmad Zahid, selepas itu isu berkenaan akan dirujuk kepada jawatankuasa pengurusan parti yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden, Mohamad Hasan.
Terdahulu Ketua Umno Sungai Besar, Jamal Md Yunus memberitahu dia akan mengemukakan aduan terhadap Khairy kerana menuduh terdapat cubaan untuk membawa masuk 'pengundi hantu' bagi meluluskan usul agar dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan.
Jamal berkata aduan itu dibuat bagi membolehkan lembaga disiplin parti mengambil tindakan tegas terhadap Khairy.
"Saya akan membuat aduan rasmi kepada lembaga disiplin supaya tindakan boleh diambil dan saya berharap Khairy boleh digantung daripada menjadi ahli Umno.
"Kerana kenyataanya sangat memalukan Umno dan saya sendiri sebagai ketua bahagian Sungai Besar merasakan kenyataan tersebut aib dan seluruh ahli Umno bila saya berada di dewan Merdeka tak puas hati dengan kenyataan Khairy," katanya dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur, sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022, hari ini.
Terdahulu, Khairy dilaporkan mendakwa ada cubaan untuk membawa masuk 'pengundi hantu' hari ini bagi meluluskan usul tambahan agar dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan.
Menyatakan hal itu melalui media sosial, Khairy berkata, dia difahamkan tag kedudukan perwakilan yang sebelum ini diletakkan di kerusi Dewan Merdeka telah ditanggalkan bagi menempatkan 'pengundi hantu' terbabit.
Keadaan itu, dakwa Khairy, berkemungkinan besar untuk meluluskan usul kelapan yang dijadual berlangsung pada jam tiga petang ini.
Semalam, perwakilan Negeri Sembilan, Mohd Shukri Samsudin mengemukakan usul tambahan agar dua jawatan tertinggi melibatkan presiden Umno dan timbalan tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.
Usul berkenaan telah mendapat sokongan daripada Umno Terengganu, Selangor, Perwakilan Wanita dan Pulau Pinang.
Bagaimanapun, Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil menegaskan dakwaan dibuat Khairy adalah fitnah dan tiada sebarang perwakilan import dibawa masuk ke Dewan Merdeka.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai