Skip to main
Logo Malaysiakini

Zahid: Jangan biar perpaduan Umno diratah kali kedua

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kerajaan perpaduan yang dibentuk bersama Pakatan Harapan (PH) adalah solusi terbaik bagi mengelak perpaduan parti itu diratah sekali lagi.

Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri yakin kerajaan perpaduan yang dibentuk mampu memberi kekuatan kepada parti itu untuk menghadapi enam pilihan raya negeri (PRN) yang bakal diadakan.

"Oleh sebab itu, kerajaan perpaduan adalah solusi terbaik untuk parti bagi mengelakkan parti sekali lagi diratah perpaduannya.

"Insya-Allah dengan itu juga kita mampu menghadapi PRN negeri terdekat ini dengan gagah dan kuat khususnya di Kelantan, Terengganu dan Kedah," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Umno 2022, di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, petang ini.

Hadir sama Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden, Ismail Sabri Yaakob, Mahdzir Khalid dan Khaled Nordin.

Zahid berkata perpaduan Umno telah diratah ketika mana parti itu menyertai kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang kesannya diterjemahkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

Mengulas lanjut, ahli parlimen Bagan Datuk itu berkata keputusan untuk menyertai kerajaan perpaduan berdasarkan prinsip mencegah kemudaratan besar.

"Apa saja perkara yang boleh memudaratkan parti dan memudaratkan perpaduan dalam parti mesti dihalang dan dielakkan.

"Dalam era kerajaan PN dulu parti terdedah kepada perpecahan sesama ahli.

“Agenda pecah perintah disasarkan terhadap parti.

"Inilah mudarat yang paling besar pada parti yang kesannya dapat dilihat dengan jelas menerusi keputusan PRU -15. Kita tidak boleh membenarkan lagi agenda seumpama itu berlangsung kepada parti pasca PRU -15," katanya lagi.

Biar gelombang dan ribut taufan

Sementara itu, Zahid merakamkan penghargaan kepada perwakilan kerana memberi kepercayaan kepada dia dan timbalannya untuk terus menerajui parti itu.

Zahid berikrar untuk memacu parti itu sehingga sampai ke destinasi yang diharapkan meskipun berdepan pelbagai cabaran.

"Terima kasih kerana beri peluang saya dan Tok Mat (Mohamad) untuk terus menerajui parti," katanya.

"Biarpun gelombang, biarpun badai, biarpun ribut raufan, kami berdua akan bawa bahtera Umno ini ke pelabuhannya," katanya.